TN50: Belia mahu kualiti hidup setaraf negara maju, kata menteri

TN50: Belia mahu kualiti hidup setaraf negara maju, kata menteri

Peluang pekerjaan yang cukup dan pendapatan tinggi adalah aspirasi utama belia sepanjang fasa pertama dialog TN50

khairy-jamaluddin_tn50_600
PUTRAJAYA:
Peluang pekerjaan mencukupi dengan pendapatan tinggi dan kualiti hidup setaraf negara maju merupakan aspirasi popular golongan belia sepanjang fasa pertama dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau berkata aspirasi tersebut antara 26,000 aspirasi yang dikumpul daripada 585,000 belia yang didekati melalui pelbagai saluran termasuk dialog dan dalam talian serta yakin sasaran mendekati 1.5 juta belia dapat dicapai menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata, 80% aspirasi TN50 yang diutarakan belia menyentuh hala tuju ekonomi, pekerjaan, pendidikan, kemahiran, nilai masyarakat, persekitaran, kesejahteraan hidup dan tadbir urus kerajaan.

“Di bawah aspirasi ekonomi dan kerajaan, belia mahu melihat negara mempunyai struktur dan sektor eknomi lebih maju, mampan dan berteknologi tinggi.

Mereka juga mahu pendapatan meningkat secara drastik dalam masa 30 tahun dan mengimpikan aturan tempat kerja yang fleksibel, iaitu mereka tidak perlu masuk kerja 9.00 pagi dan balik 6.00 petang, sebaliknya bekerja menggunakan teknologi asalkan indeks prestasi utama (KPI) dicapai.

“Menurut belia, sistem fleksibel perlu untuk mereka menjana pendapatan ke-2 sebagai usahawan.

“Belia tidak mahu pengguna teknologi asing di negara ini dan mahu Malaysia membina, mereka dan mencipta teknologi sendiri,” katanya dalam sidang media mengenai 90 Hari Pertama Dialog TN50 di pejabatnya hari ini.
Beliau berkata, belia juga khuatir dengan impak teknologi baharu menggantikan tenaga manusia, justeru persediaan menghadapinya perlu dilakukan sekarang

Selain itu, Khairy berkata antara aspirasi berkualiti tinggi turut mendapat perhatian belia ialah persekitaran dan kesejahteraan hidup yang melibatkan sistem pengangkutan yang maju dan sepadu terutamanya infrastruktur pengangkutan di luar bandar dan antara negeri selain penggunaan teknologi hijau yang meluas dengan pembangunan yang mampan.
“Mereka mencadangkan pertanian bandar di rumah untuk kegunaan sendiri dan dijual melalui satu jaringan yang dibangunkan, agar orang ramai tahu siapa yang menjual apa, menerusi jaringan itu,” katanya.

Dalam aspirasi pendidikan, Khairy berkata belia mahukan pendidikan efektif untuk menyediakan generasi muda dan berumur menghadapi kehendak pasaran dan tekanan hidup serta perubahan teknologi serta pendidikan dengan kos minimum dari prasekolah hingga ke peringkat tinggi.

“Kebanyakan belia mahu lihat sistem urus tadbir kerajaan yang telus dan berintegriti melalui pengumpulan data dan analisis data bagi meningkatkan proses membuat keputusan secara kompeten dan cekap,” katanya.

Bagi aspirasi nilai dan tingkah laku, katanya, generasi muda ini menegaskan identiti sebagai warga Malaysia dipegang namun semua mesti menghormati budaya, agama dan bahasa lain, serta memastikan tiada sesiapa ketinggalan menaik taraf kehidupan, selain meningkatkan kesedaran sivik di kalangan masyarakat.

“Dua topik yang paling kurang dibincangkan ialah aspek kesihatan dan persaraan memandangkan kedua-dua isu itu dianggap tidak penting generasi muda.

“Saya paksa dan menggalakkan mereka bincang kerana kalau isu ini tidak dibangkitkan, saya rasa laporan TN50 tidak lengkap.”

Beliau berkata, dialog dan pengumpulan aspirasi TN50 kini memasuki fasa ke-2 yang akan diteruskan sehingga akhir tahun ini.
“Selepas ini, kami akan memulakan fasa mengupas dan membahas aspirasi belia dengan lebih mendalam bagi menganalisa dan merumus cadangan secara menyeluruh dalam membentuk perancangan dasar TN50 dan Laporan Belia TN50.

“Kami akan membentuk Kumpulan Masa Depan TN50 dengan setiap kumpulan dianggotai 10 anggota belia dan 3 pakar subjek, yang akan melihat dan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai topik utama yang berkaitan,” katanya.

Tambah Khairy, bermula hari ini sehingga 12 Mei, pihaknya akan membuka peluang kepada generasi muda yang berminat untuk turut serta atau mencalonkan nama individu berkaliber bagi menjadi Ahli Belia Kumpulan Masa Depan TN50.

“Kami juga buka permohonan untuk individu berusia lebih 40 tahun yang mahu menjadi Pakar Subjek Kumpulan Masa Depan TN50.

Permohonan ini boleh dibuat menerusi www.mytn50.com/circles/registration

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.