554 pelajar menengah, majoriti Melayu, positif dadah tahun ini

554 pelajar menengah, majoriti Melayu, positif dadah tahun ini

Menteri pendidikan memberi amaran kepada sekolah jangan sembunyikan masalah itu.

madzhr-khalid
PETALING JAYA: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi amaran kepada pengetua sekolah yang cuba menyembunyikan masalah penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar mereka, selepas pendedahan 554 pelajar sekolah menengah didapati positif dadah dalam tempoh singkat 1 Januari sehingga 15 Mac tahun ini.

“Kebanyakan mereka pelajar Melayu dalam Tingkatan Empat. Jumlah itu wajar bagi membolehkan tumpuan diberikan,” kata Mahdzir dipetik Harian Metro hari ini.

“Pengetua atau guru besar perlu melaporkannya dan kita akan rungkaikan semua sekali dalam daerah (PPD) seterusnya kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan melaluinya kita tahu berapa ramai yang terbabit.”

Menurutnya, sebahagian besar daripada mereka mengambil dadah sintetik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Johor, Lukas Ak Aket pula dipetik The Star berkata, daripada jumlah itu, 13 kes dikesan di Johor.

Sementara Ketua JSJ Pulau Pinang Maidu Abu Bakar berkata sebanyak 4 kes dicatatkan di negeri itu.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Chong Sin Woon berkata pelajar yang positif dadah atau dijumpai dadah pada dirinya akan dihantar untuk kaunseling.

“Kami akan membuat pemeriksaan susulan terhadap pelajar itu setiap 3 bulan bagi memastikan mereka bebas dadah.

“Kami akan hantar mereka ke pusat pemulihan jika ketagihan ini berterusan,” kata Chong.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.