
Beliau membayangkan bekas exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi tidak mungkin bertindak bersendirian dalam jenayah yang didakwa dilakukannya.
Semalam, Latif bersama seorang perunding hartanah didakwa dengan 33 pertuduhan melibatkan rasuah bernilai RM30.3 juta.
“SPRM perlu membuka kertas siasatan terhadap Khaled dan exco negeri lain kerana sebarang cubaan menukar status tanah, menjual tanah atau hartanah, perlu mendapat kelulusan pentadbiran negeri terlebih dahulu.
“Tidak mungkin kelulusan diperolehi hanya melalui kuasa diberikan kepada Latif semata-mata.
“Dia mesti melalui proses di mana kelulusan diperolehi dalam mesyuarat kerajaan negeri, dalam kes ini, mesyuarat exco dipengerusikan Khaled,” katanya pada sidang media hari ini.
Salahuddin berkata, adalah “pelik” jika siasatan kes itu terhad kepada Latif sahaja kerana Khaled sebagai menteri besar juga perlu bertanggungjawab.
“SPRM perlu menyatakan jika Khaled dan exco negeri lain sedang disiasat,” katanya sambil menggesa SPRM memulakan siasatan, jika mereka belum berbuat demikian.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, kerajaan negeri Johor perlu tertakluk kepada audit pengurusan serta-merta, selain audit kewangan tahunan.
“Ini penting supaya pejabat menteri besar juga boleh diaudit. Saya cadangkan kerajaan pusat melantik firma audit antarabangsa yang diiktiraf untuk melakukan audit pengurusan.
“Kerana saya tidak mahu amalan rasuah dalam kerajaan negeri terus merebak. Kami mahu kerajaan negeri yang bebas rasuah.
“Ini selaras kenyataan Sultan Johor tidak akan membenarkan mana-mana pegawai kerajaan negeri terbabit dalam rasuah,” kata Salahuddin.
Semalam, Latif yang berusia 51 tahun mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan melibatkan rasuah hartanah bernilai RM30.3 juta.
Latif dituduh bersubahat dengan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, menerima suapan sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah lot Bumiputera kepada pembeli awam, serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi Projek Eco Botanic, Pulai.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu di sebuah bank di Larkin Perdana.
Hari ini, Khaled mengesahkan pihaknya sudah menerima surat peletakan jawatan Latif sebagai pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta semua jawatan rasmi dalam kerajaan negeri.
Latif bercuti daripada portfolionya sejak 1 Mac lalu susulan siasatan SPRM terhadap skandal rasuah hartanah di Johor.
Dia kemudiannya ditahan sewaktu memberi keterangan berhubung kes itu kepada SPRM di ibu pejabat agensi itu di Johor Bahru pada 9 Mac lalu, 2 minggu selepas anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 25, dan pegawai khasnya, Muhammad Idzuan Jamalludin ditahan.
Mereka disiasat dalam skandal melibatkan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera melibatkan beberapa pemaju di Johor.