Panik jumpa bom mortar di tempat sampah

Panik jumpa bom mortar di tempat sampah

Penemuan itu mencetuskan suasana panik di kalangan peniaga dan pengunjung Pasar Besar Seremban.

bom-mortar
SEREMBAN: Suasana riuh rendah peniaga dan pengunjung Pasar Besar Seremban bertukar cemas apabila sebutir bom mortar lama ditemui di tempat pembuangan sampah di pasar itu hari ini.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Peniaga Pasar Besar Seremban Koh Lee Giap berkata objek berkenaan dijumpai pekerja syarikat pembersihan ketika mengutip sampah jam 8.30 pagi ini.

Beliau berkata penemuan bom itu dimaklumkan kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang kemudian melaporkan kepada polis.

“Beberapa anggota polis datang ke sini dan kemudian menutup tempat itu untuk sementara,” katanya kepada pemberita.

Berikutan penemuan itu, Koh berkata ia mencetuskan suasana panik di kalangan peniaga dan pengunjung pasar berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri SAC Muhamad Zaki Harun mengesahkan objek itu adalah bom mortar jenis lama yang hanya boleh digunakan dalam latihan.

Bagaimanapun, tindakan diambil oleh Unit Pemusnah Bom (UPB).

“Siasatan akan dibuat untuk kita mengetahui dari mana dan macam mana ia boleh berada di situ,” katanya dalam kenyataan ringkas menerusi aplikasi Whatsapp kepada Bernama.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama pada jam 12.30 tengah hari tadi mendapati suasana di pasar berkenaan kembali tenang dan peniaga menjalankan urusan seperti biasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.