
The Star melaporkan, hanya 2 bilik menunggu di luar Unit Rawatan Rapi dikhaskan untuk pengasingan jantina.
Amalan itu bermula sejak setahun lalu selepas saudara-mara pesakit mengadu, kata jurucakap hospital.
Susulan itu, label diletakkan di setiap bilik berkenaan, masing-masing ditandakan lelaki dan perempuan.
Seorang pengawal keselamatan memberitahu akhbar itu yang ada sesetengah pelawat wanita berkata mereka tidak mahu menunggu di bilik yang sama dengan lelaki.
“Tetapi wanita yang tidak kisah menunggu di bilik sama dengan ahli keluarga lelaki boleh berbuat demikian jika tidak ada aduan,” katanya dipetik sebagai berkata.
Seorang jururawat lelaki turut memberitahu The Star yang keluarga besar kadangkala tidak mengendahkan papan tanda itu dan menunggu di bilik sama.
Papan tanda itu diturunkan kira-kira 4 petang semalam selepas aduan dibuat seorang wanita.
Jabatan perhubungan awam hospital itu memberitahu The Star ia bukan polisi hospital untuk mewujudkan bilik menunggu dengan pengasingan jantina.
“Pengasingan sebenarnya bukan polisi yang diamalkan hospital. Papan tanda itu sudah pun diturunkan,” kata wakil hospital dipetik daripada akhbar itu.