Yawas tak gagal, kata exco Selangor

Yawas tak gagal, kata exco Selangor

Dr Daroyah Alwi pembayaran SMUE kana diselesaikan dalam tempoh 2 bulan dengan syarat semua dokumen yang diminta sudah lengkap.

Daroyah-Alwi_yawas_selangor_600
SHAH ALAM:
Dr Daroyah Alwi hari ini menafikan dakwaan Adun Kuang daripada BN Abdul Shukur Idrus yang kerajaan negeri tidak telus dalam menguruskan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Exco kesihatan, kebajikan, hal ehwal wanita dan keluarga negeri itu berkata pembayaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di bawah yayasan itu akan diselesaikan dalam tempoh 2 bulan dengan syarat semua dokumen diisi lengkap.

“Pemberian RM1,000 akan diberikan pada fasa pertama dan fasa kedua untuk warga emas, RM1,500 akan diberikan selepas 2 bulan daripada penyerahan dokumen dari pejabat DUN ke pejabat daerah.

“Jadi, maknanya, RM1,000 dipegang oleh Adun dan RM1,500 dipegang pejabat daerah. Beberapa Adun akan menyerahkan wang bantuan SMUE kepada waris pada program yang dianjurkan,” katanya.

Adun Sementa itu dalam sesi penggulungan perbahasannya di DUN Selangor hari ini berkata maka tidak wujud masalah yang menyatakan Adun pegang wang RM2,500 dan ia tidak sampai ke tangan waris.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shukur yang mendakwa ada waris si mati tidak mendapat bantuan SMUE selepas 60 hari.

Daroyah berkata dakwaan yang menyatakan kerajaan negeri menyeleweng dana SMUE itu berniat jahat dan tidak benar.

Katanya, di bawah pentadbiran kerajaan negeri pada masa ini segala perkara melibatkan kewangan untuk diserahkan kepada rakyat akan dijaga dengan penuh integriti.

“SMUE di bawah yayasan itu diteruskan sedia ada secara telus untuk memastikan bantuan disampaikan selaras dengan agenda ‘Smart Selangor’ membangun bangsa memakmurkan negeri.

“Dakwaan Adun Kuang yang Yawas gagal mengurus dana waris si mati adalah tidak benar sama sekali, dan berniat jahat,” katanya.

Sebelum itu, Shukur yang tidak berpuas hati dengan jawapan Daroyah berulang kali meminta penjelasan mengenai dana SMUE itu.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker DUN Selangor Mohd Shafie Ngah meminta Shukur bertenang dan memberi laluan kepada Daroyah untuk menjawab setiap soalan yang diajukan.

“Yang Berhormat (Adun) semua sila duduk. Saya akan beri keadilan sesiapa yang nak bertanya, tetapi biarlah seorang demi seorang.

“Sekiranya exco (Daroyah) sedang menjawab dan tidak beri laluan ketika itu biar exco jawab dulu. Jangan bimbang, saya akan beri ruang untuk tanya soalan. Kita datang sini untuk lihat kepentingan rakyat dinaikkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.