
Timbalan Speaker Mohd Shafie Ngah hari ini membacakan penyataan 2 muka surat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan terhadap Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali), mengenai ucapan beliau pada 1 November 2016.
Nadzari didakwa mengatakan terdapat isi ataupun niat dalam pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tidak mengiktiraf sistem raja berpelembagaan.
“Dalam penyata oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ini, Dewan diingatkan mengenai tuntutan berfikir dan mengkaji sebelum memberi ucapan.
“Yang Berhormat juga diingatkan agar jangan berprasangka buruk apatah lagi apabila ianya melibatkan institusi beraja.
“Pejabat Speaker juga telah menyediakan unit penyelidik yang boleh membantu semua Adun untuk membuat kajian berkenaan hal ehwal perbahasan Dewan Negeri.
“Amat aneh dan mengecewakan Yang Berhormat memilih untuk tidak membuat kajian komprehensif mahupun menggunakan kemudahan yang telah disediakan ini,” katanya ketika menutup sesi sidang hari ini, kepada Nadzari yang diminta berdiri mendengar hukuman pertuduhan dibacakan.
Pada 6 Mac lalu, Nadzari memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mendapatkan pengisytiharaan bahawa ucapannya di dewan dilindungi peruntukan undang-undang, menurut Artikel 77 Undang-Undang Tubuh Negeri dan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.