Isu EOT: Pemaju untung, pembeli rumah rugi

Isu EOT: Pemaju untung, pembeli rumah rugi

Anthony Loke berkata amalan itu akan menyebabkan pemaju perumahan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menyiapkan projek perumahan yang mereka usahakan.

anthony-loke
KUALA LUMPUR: Isu perlanjutan masa (EOT) dalam pembinaan rumah dilihat berat sebelah dan hanya akan merugikan pembeli projek perumahan, kata wakil rakyat DAP.

Di Dewan Rakyat hari ini, Anthony Loke (DAP-Seremban) berkata amalan itu akan menyebabkan pemaju perumahan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menyiapkan projek perumahan yang mereka usahakan.

“Isu EOT tidak adil kepada pembeli, apabila pemaju ada masalah tidak dapat uruskannya dengan baik, mereka mohon EOT. Ini membolehkan mereka panjangkan tempoh pembinaan.

“Pembeli hilang hak mereka untuk menuntut faedah daripada pemaju. Pembeli selepas menandatangani perjanjian dengan bank dan lewat untuk lakukan bayaran, mereka perlu bayar faedah.

“Tetapi, pihak pemaju yang lewat bina rumah mereka, tidak perlu sebarang faedah jika mereka memperoleh EOT,” katanya dalam perbahasan di Parlimen hari ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar berkata isu itu sememangnya wujud namun kementerian melihat keseluruhan aspek dalam perkara itu, termasuk semua pihak yang terlibat.

“Apa yang Yang Berhormat cakap memang betul tetapi bercakap bagi pihak pembeli. Kena ingat, kementerian melihat kepentingan semua pihak, pembeli dan pemaju.

“Pembeli dan pemaju ada perjanjian. Kita faham, dalam pertimbangkan kepentingan pembeli, kita kena lihat kepentingan pemaju juga,” katanya.
Noh bagaimanapun menafikan KPKT sewenang-wenangnya menganugerahkan EOT kepada semua pemaju sebaliknya kementerian menjalankan siasatan terlebih dulu dan menapis setiap permohonan.

“Kita tidak berikan keputusan sewenang-wenangnya. Kami akan hantar pegawai turun padang. Pada zaman menteri sebelumnya, sebanyak 9 permohonan diluluskan dan waktu saya, ada 4 yang diluluskan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.