
Beraksi di hadapan 35,000 penyokong, skuad Tok Gajah membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi Ahmad Syamim Yahya, namun skuad Harimau Selatan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-21 menerusi pemain pertahanan import dari Brazil, Marcos Antonio Elias Santos.
Bersambung separuh masa ke-2, Pahang menambah jaringan menerusi pemain import dari Brazil, Matheus Alves Leandro pada minit ke-48 dan pemain import dari Nigeria, Chinedu Bright Ezendu Dike pada minit ke-66.
Namun, kedudukan selesa itu mungkin boleh berubah apabila Pahang berkunjung ke kubu kuat JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, untuk perlawanan timbal balik pada 23 April ini.
Sementara itu, juara 3 kali Piala FA, Kedah hampir pasti mara ke separuh akhir apabila berpesta gol membelasah pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, 6-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Kedah membuka jaringan menerusi Mohd Fitri Omar pada minit ke-15, sebelum pemain PKNP FC, G. Mugenthirran menjaringkan gol sendiri pada minit ke-29.
Pemain import dari Denmark, Ken Ilso Larsen beraksi cemerlang apabila menjaringkan 2 gol Kedah pada minit ke-47 dan 90.
Turut tersenarai sebagai penjaring bagi skuad Lang Merah ialah pemain import dari Serbia, Liridon Krasniqi (minit ke-45) dan Muhammad Syafiq Ahmad (minit ke-86), manakala gol saguhati PKNP FC dijaringkan Mohamad Khairul Asyraf Ramli pada minit ke-85.
Terdahulu, perlawanan tersebut terpaksa dihentikan hampir 20 minit berikutan salah sebuah lampu limpah terpadam secara tiba-tiba pada minit ke-59.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, juara 2 kali Piala FA, Terengganu gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 menentang Sarawak.
Skuad Penyu bermula dengan baik apabila membuka jaringan menerusi pemain import dari Argentina, Federico Matias Faicone pada minit ke-20, namun pemain import Sarawak dari Korea Selatan, Jong Ho Lee menyamakan kedudukan pada minit ke-53.
Sementara itu, Sabah tewas 0-1 kepada juara 2 kali Piala FA, Negeri Sembilan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, menerusi jaringan tunggal pemain import dari Montenegro, Marko Simic pada minit ke-26.
Aksi suku akhir ke-2 antara PKNP FC dan Kedah di Stadium Perak, Ipoh; Sarawak berdepan Terengganu di Stadium Negeri Kuching; dan Negeri Sembilan menentang Sabah di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, akan berlangsung 21 April ini.