UEC: Perkasa ugut saman kerajaan

UEC: Perkasa ugut saman kerajaan

Perkasa digesa bawa isu UEC ke mahkamah untuk mohon pembatalan jika kerajaan mengiktirafnya atas apa alasan sekalipun termasuk syarat yang ditetapkan KPT.

uec
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengancam untuk menyaman kerajaan sekiranya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pengerusi Biro Pendidikan dan Modal Insan Perkasa, Datuk Sirajudin Mohd Salleh berkata pendirian itu diputuskan dalam sidang meja bulat pertubuhan itu hari ini.

“Kami menolak pengiktirafan sijil UEC dan mendesak kerajaan, Kementerian Pendidikan dan KPT menolak segala tuntutan secara muktamad,” katanya.

“Sidang itu juga menggesa Perkasa membawa isu UEC ke mahkamah untuk memohon pembatalan sekiranya kerajaan mengiktirafnya atas apa alasan sekalipun termasuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh KPT,” kata beliau semasa membacakan resolusi sidang meja bulat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sirajudin berkata UEC akan memberi kesan buruk terhadap perpaduan dan mencabar kedaulatan negara.

“Kerajaan mesti mengambil kira perlembagaan, undang-undang serta kepentingan dan kedaulatan negara dalam membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, ahli panel iaitu Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, kerajaan harus mengutamakan pelajar aliran kebangsaan berbanding UEC kerana mereka lebih setia kepada negara.

“Sekelompok ibu bapa tidak memasukkan anak mereka ke sekolah menengah persendirian selepas darjah 6, tapi mendaftar di sekolah menengah jenis kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Kelompok ini sanggup berada dalam sistem dan mereka dianggap setia berbanding mereka yang tidak sanggup menerima sistem ini,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat Cina di negara ini supaya menolak UEC dan menerima sistem pendidikan yang sedia ada bagi memperoleh peluang untuk belajar di universiti awam.

“Kalau UEC diiktiraf, ia akan ambil kuota Cina yang setia itu, walaupun kita ada sistem meritokrasi tapi sistem kuota yang mengehadkan pelajar Cina menyebabkan fakulti didominasi satu bangsa saja.

“Masyarakat Cina perlu tahu kalau UEC diiktiraf mereka akan rugi kerana institusi pengajian tinggi awam terhad kuota Cina,” katanya.

Antara panel lain yang hadir ialah Ketua Kluster Pendidikan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa; Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena) Dr Saleeh Rahamad dan tokoh perundangan Adnan Seman.

UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah persendirian Cina di seluruh negara sejak 1975, dengan sukatan pelajarannya dibangunkan Dong Zong, apabila sekolah Cina enggan menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau akan meminta menteri pendidikan menjalankan kajian mendalam berhubung pengiktirafan UEC.

Selain Perkasa, UEC turut dibantah beberapa pihak seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Gerakan Sistem Sekolah Satu Aliran Demi Perpaduan (Serap) dengan alasan ia tidak menepati piawaian Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Pelihara keharmonian negara, jangan iktiraf UEC, kata Perkasa

Pengkritik sukatan pelajaran UEC komen tanpa selidik

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.