Zaid: Undang-undang tuhan adil jika pelaksana adil

Zaid: Undang-undang tuhan adil jika pelaksana adil

Undang-undang Islam dan konsep hudud sekian lama jadikan umpan politik oleh mereka yang tidak ada modal lain.

zaid
PETALING JAYA: Walaupun kerajaan mengambil keputusan untuk tidak membentangkan usul Hadi, masih ada pihak mendakwa undang-undang ini perlu dilaksanakan lalu mengelirukan masyarakat, kata bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim.

“Demi Islam, kata mereka,” katanya di blog hari ini. “Mereka selalu berkata undang-undang Tuhan ini tidak boleh diketepikan dan sudah tentunya adil.”

Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan undang-undang terletak pada pihak yang diamanahkan untuk melaksanakannya.

“Rakyat Malaysia, terutama wanita dan mereka dikelas bawahan, mesti juga ingat, undang-undang Tuhan itu adil jika manusia yang melaksanakannya itu mampu berlaku adil.

“Keadilan dan kebaikan undang-undang Tuhan tidak berlaku secara automatik,” tambah Zaid. “Ia tidak menjadi adil semata-mata kerana hukumannya. Tuntutan Islam lebih luas daripada itu.”

Zaid mengulas keputusan kerajaan tidak membentangkan usul Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan itu mengambil kira bantahan daripada kebanyakan rakan komponen BN.

Namun Zaid melihat keputusan itu tidak menghalang penyokong usul Hadi, sama ada dalam kalangan PAS dan kerajaan, mendesak agenda rang undang-undang itu.

Ahli terbaharu DAP itu berkata undang-undang Islam dan konsep hudud sekian lama dijadikan umpan politik oleh mereka yang tidak ada modal lain.

Tetapi untuk meyakinkan rakyat, perlu ada usaha menunjukkan sistem jenayah Islam lebih baik dan lebih adil daripada sistem sivil.

Ini termasuklah menjalankan kajian menambah baik mahkamah syariah, sebelum pihak berkuasa meningkatkan kuasa menghukum, tambahnya.

“Inilah cara kita melakukan keadilan, bukan dengan tergesa-gesa kerana musim pilihan raya sudah bermula.

“Walaupun ramai penceramah PAS dan peminat RUU 355 berkata saya ini ‘jahil’ dan ‘liberal’, dan macam-macam lagi, saya tetap dengan pendirian orang Islam memerlukan system perundangan Islam yang baik dan profesional.

“RUU 355 tidak lulus dalam kategori ini.”

Kerajaan membuat keputusan itu 2 minggu selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata BN akan membentangkan usul meminda Akta 355 pada sidang Dewan Rakyat kali ini, walaupun terpaksa kehilangan “kawan”.

Perdana menteri mengumumkan usul itu akan terus menjadi rang undang-undang persendirian, dan menyerahkan nasib usul itu kepada Speaker Dewan Rakyat.

“Kalau Speaker memutuskan ia dibentangkan, maka ia akan dibentangkan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.