Kerana ibu yang hilang, kanak-kanak ini tidak ke sekolah

Kerana ibu yang hilang, kanak-kanak ini tidak ke sekolah

Empat tahun lalu, ibu kandungnya menghilangkan diri. Kini, pengasuhnya tidak dapat mendaftarkannya ke sekolah.

budakblr
KUALA LUMPUR:
Seorang kanak-kanak berusia 7 tahun tidak dapat merasai alam persekolahan, semuanya kerana penjaganya tidak dapat mengemukakan sijil kelahirannya.

Tan Guat Hoon, 37, berkata dia cuba mendaftarkan budak lelaki yang dijadikan anak angkatnya itu sejak awal tahun ini, tetapi gagal.

Tan yang merupakan pengasuh sepenuh masa berkata kanak-kanak lelaki itu berusia 8 bulan ketika pertama kali dibawa ibu kandungnya pada 2011.

Dua tahun kemudian, ibu kandungnya terus menghilangkan diri, selepas membayar yuran asuhan berjumlah RM2,000 pada tahun sama.

“Dia melawat anaknya 6 kali, sebelum terus menghilangkan diri pada 2013,” kata Tan pada sidang media yang dianjurkan Gerakan hari ini.

Sepanjang sidang media itu, kanak-kanak itu beberapa kali memanggil Tan “ibu”.

Tan yang kematian suami turut mempunyai 2 anak lelaki remaja.

Menurutnya, dia cuba menghubungi saudara-mara kanak-kanak itu, tetapi malangnya mereka semua enggan menjaganya.

“Saya kini buntu kerana tidak dapat membantunya memasuki sekolah.

“Saya harap ibunya akan tampil dan menyerahkan hak penjagaan kepada saya, untuk membolehkan saya jadi ibu angkat secara sah,” kata Tan, dan menambah dia sudah pun menganggap kanak-kanak itu anak ketiganya.

“Saya tidak mahu kehilangannya.”

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan, Ong Siang Liang, menyeru ibu kandung kanak-kanak itu tampil memberi penjelasan dalam masa seminggu.

Katanya, sekiranya ibunya masih gagal ditemui, Tan akan memfailkan perintah mahkamah mendapatkan hak penjagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.