Tiada tambahan, Selangor kekal peruntukan bajet 2017

Tiada tambahan, Selangor kekal peruntukan bajet 2017

Azmin Ali berkata ia sejajar dengan prinsip kerajaan negeri yang mengambil kira unjuran belanjawan untuk tahun berikutnya.

azmin-selangor-1
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor tidak akan membuat penambahan peruntukan dalam Belanjawan 2017, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, jumlah peruntukan perbelanjaan berjumlah RM3.45 bilion bagi 2017 untuk melaksanakan perancangan dan agenda kerajaan negeri akan dikekalkan.

“Pada prinsipnya kerajaan negeri telah ambil keputusan untuk tidak mengadakan sebarang belanjawan tambahan.

“Prinsip ini akan dipertahankan kerana apabila kita bentangkan belanjawan dalam dewan ini kita telah menyusun dan merancang dengan rapi tentang unjuran belanjawan untuk tahun berikutnya,” katanya ketika berucap di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) sama ada kerajaan negeri akan membuat tambahan kepada belanjawan 2017, terutama melibatkan projek pembangunan air Selangor menerusi penukaran gantian paip baru.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, pihak kerajaan negeri akan mengarahkan pihak Syarikat Air Selangor supaya menyiapkan projek penukaran paip baru mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Saya amat setuju supaya paip lama dapat diganti dengan segera, persoalannya bukan dana dan peruntukan tapi kapasiti yang ada untuk memastikan apabila belanjawan diberikan, maka Syarikat Air Selangor mempunyai keupayaan untuk siapkan dalam masa yang diberikan,” katanya.

Oktober tahun lalu, Azmin dalam Bajet 2017 mengganggarkan perbelanjaan berjumlah RM3.45 bilion untuk melaksanakan perancangan dan agenda kerajaan negeri.

Belanjawan Selangor 2017 bukan bajet ‘ikat perut’, kata Azmin

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.