
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata ini kerana Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Mufti Selangor sudah memanggil pihak yang bertanggungjawab dan meminta mereka tidak meneruskan khidmat tersebut.
“Walaupun tiada fatwa (larangan), ia sudah disebut mufti. Tindakan mengingkari perintah mufti boleh diambil (jika ia diteruskan) selepas arahan dikeluarkan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) berhubung tindakan yang akan diambil terhadap perkhidmatan kontroversi itu, serta langkah mengatasi isu yang boleh mencemarkan agama Islam.
“Valet Doa” muncul di Facebook akhir Januari lalu apabila individu menggelar dirinya sebagai Haji Arin menawarkan khidmat kiriman doa di tempat suci umat Islam, Mekah dan Madinah, dengan kadar bayaran tertentu bermula RM250 hingga RM5,000.
Menerusi iklan itu, Haji Arin memberi jaminan doa yang dikirim pasti akan dimakbulkan.
Jamil berkata Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau laman Facebook itu, dan menyokong sebarang tindakan SKMM terhadapnya.
Setakat ini, laman web itu masih beroperasi dan posting terakhir dibuat 2 hari lalu.
Namun, perkataan “confirm makbul” sudah disunting menjadi “Insya-Allah makbul”, dan jaminan pulangan wang jika doa tidak dimakbulkan dalam masa setahun tidak lagi diberikan.
Menurut kenyataan media Valet Doa pada 19 Februari lalu, penukaran itu dibuat selepas ramai mufti, antaranya Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad, mengeluarkan kenyataan media mengecam perkhidmatan disediakannya.
Jamil berkata perkhidmatan itu memberikan impak negatif kepada Islam dan mengundang salah faham serta kerosakan akidah kepada umat Islam.
“Ada unsur yang amat tidak sihat pada iklan doa itu. Penganjur harus faham tidak salah untuk mendoakan orang lain, tetapi yang salah adalah mengenakan bayaran,” katanya.
Valet Doa ingkar arahan mufti, tekad terus khidmat kirim doa