
“Saya tidak tahu dari mana dia dapat kenyataan itu. Saya cadangkan dia tumpukan semua tenaganya untuk menjaga Umno yang berpecah belah sekarang,” katanya pada pelancaran Taman Millennium Proto di SS13 hari ini.
Yeoh berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ahli Majlis Tertinggi Umno itu semalam yang DAP menghadapi masalah dalaman di mana ramai ahli tidak boleh menyuarakan rungutan mereka terhadap Kit Siang yang terus menerajui parti itu selepas 5 dekad.
Sehubungan itu, Rahman menggesa Kit Siang bersara dan mendakwa ahli DAP di peringkat akar umbi mahu peralihan kuasa kepada seorang pemimpin lebih progresif dan bersifat sederhana berbanding pandangan terlalu “ekstrem” yang diperlihatkan Kit Siang.
Yeoh mengingatkan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, hanya ahli DAP lebih mengetahui masalah dalaman mereka dan menyifatkan kenyataan Rahman sebagai mengarut.
“Hanya ahli DAP paling tahu mengenai parti dan pemimpin Umno tidak perlu komen. Saya juga rasa kenyataan Rahman karut semata-mata.”
Katanya, peletakan jawatan pemimpin DAP Melaka ialah insiden terpencil dan Umno turut mempunyai masalah sama.
“Kalau anda mahu mengadili insiden Melaka, macam mana dengan Umno? Ramai ahli meninggalkan Umno dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sekarang.
“Saya tak fikir ia 1 isu sama sekali. Ternyata komen Rahman untuk mengalihkan perhatian daripada apa yang berlaku dalam Umno.”
Bulan lalu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; Adun Bachang, Lim Jak Wong; Adun Kesidang, Chin Choon Seong dan Adun Duyong Goh Leong San meletak jawatan daripada DAP dengan alasan mereka hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti itu di bawah Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.
Ia disusuli 182 ahli DAP yang diketuai bekas naib pengerusi DAP Melaka, Liou Chen Kuang keluar parti.
Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor itu berkata, tindakan ahli keluar parti adalah perkara semula jadi bagi mana-mana parti kerana ahli bebas menyertai atau keluar parti.
“Ia semula jadi bagi parti politik. Rakyat mempunyai kebebasan menyertai atau meninggalkan parti dan saya rasa anda akan lihat itu berlaku menjelang pilihan raya.”
DAP cabar Rahman Dahlan gesa Najib undur, bukan serang Kit Siang