‘Superman’ bebas reman tapi siasatan masih dibuka

‘Superman’ bebas reman tapi siasatan masih dibuka

Polis Johor sedang memperkemaskan kertas siasatan membabitkan beliau sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Hew-Kuan-Yau_polis_600
JOHOR BAHRU:
Siasatan membabitkan bekas ketua DAP Bahagian Teluk Intan, Hew Kuan Yau, yang direman awal minggu ini bagi membantu siasatan kes menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya menerusi laman sosial, masih berjalan walaupun dibebaskan daripada tahanan reman kelmarin.

Polis Johor sedang memperkemaskan kertas siasatan membabitkan beliau, yang turut dikenali sebagai ‘Superman’, sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Timbalan ketua Polis Johor, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, Hew yang direman 4 hari bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Bagaimanapun kertas siasatan terhadap beliau masih dibuka dan sedang diperkemaskan,” kata beliau dipetik Bernama.

FMT sebelum ini melaporkan beliau ditahan polis di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak, Pulau Pinang kira-kira 1 tengah hari Isnin lepas susulan satu laporan polis yang dibuat ke atasnya di sini, 16 Mac lalu.

Selain penangkapan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakannya untuk membuat kenyataan berkenaan di Facebook.

Beliau didakwa membuat kenyataan tersebut dengan memuat naik poster parodi filem animasi Walt Disney, Beauty and the Beast yang disertakan gambar Najib serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 13 Mac lalu.
Beliau ditahan reman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.