
Beliau mendakwa DAP menghadapi masalah dalaman di mana ramai ahli tidak boleh menyuarakan rungutan mereka terhadap Kit Siang yang terus menerajui parti itu selepas 5 dekad.
“Saya percaya ramai pemimpin DAP tidak akan berani bercakap di luar dan akan berterima kasih kepada saya dan rakan-rakan dalam BN yang mengatakan sudah tiba masa untuk Lim Kit Siang bersara,” kata beliau kepada media selepas Persidangan Tahunan Peneraju Profesional CFA di Universiti Teknologi Mara, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mendakwa ahli-ahli DAP di peringkat akar umbi mahu peralihan kuasa kepada seorang pemimpin lebih progresif dan bersifat sederhana berbanding pandangan terlalu “ekstrem” yang diperlihatkan oleh Kit Siang.
“Ia baik bukan sahaja kepada DAP, tetapi juga negara jika pemimpin berubah dan dibenarkan membawa idea baru,” kata beliau.
Rahman, Ahli Parlimen Kota Belud berkata, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bersara pada 2003, secara sinis telah meminta Kit Siang turut berundur.
Dr Mahathir kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang baru-baru ini diterima sebagai anggota Pakatan Harapan yang turut dianggotai DAP.
“Dah 51 tahun…lama dah dan kalaulah (ada) KPI untuk memenangi pilihan raya, maka sudah 13 kali DAP kalah pilihan raya.
“Mungkin juga kepimpinan inilah yang menyebabkan DAP tidak boleh menang pilihan raya,” kata beliau merujuk kepada 13 pilihan raya umum yang diadakan di Malaysia sejak 1957.
Beliau berkata, part-parti lain sudah banyak mengalami perubahan, termasuk dari segi kepimpinan.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah pagi tadi mengisytiharkan akan terus mempertahankan kerusi di Johor itu jika beliau diturunkan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Bagaimanapun, beliau bersedia mempertimbangkan dengan serius mana-mana kawasan lain sekiranya ada sebab strategik berbuat demikian.
Beliau yang sedang menyertai jelajah seluruh negara untuk mempromosikan kempen DAP “Selamatkan dan Memulihkan Malaysia” berkata demikian selepas menjadi sasaran poster “Pernahkah anda melihat Uncle Lim Kit Siang?” yang dipasang di sekitar Gelang Patah kerana “hilang” dari kawasan itu.
Dalam perkembangan lain, Rahman mempertahankan tindakan ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menganjurkan pertandingan esei bertemakan “Lim adalah rasis” yang menawarkan ganjaran RM50,000.
Katanya, ini adalah cara Annuar mendedahkan kepada orang ramai tindak-tanduk Kit Siang sejak 51 tahun lalu yang didakwa merupakan pemimpin rasis, anti-Islam dan diktator.
“Niat beliau saya kira untuk mendedahkan apa yang beliau kata kepada Kit Siang yang Lim Kit Siang itu rasis, anti-Islam dan sebagainya yang diucapkan dalam Parlimen oleh Tan Sri Annuar Musa.
“Jadi, agaknya ini adalah cara Tan Sri Annuar Musa memberikan pendedahan lebih besar kepada rakyat karakter politik 51 tahun Lim Kit Siang ini menjadi satu persoalan kepada ramai orang.”
Semalam, Annuar menambah ganjaran pertandingan esei itu kepada RM50,000 susulan sumbangan yang diterima daripada individu tertentu.