MEF syor akaun khas KWSP laksana insurans hilang kerja

MEF syor akaun khas KWSP laksana insurans hilang kerja

Di bawah cadangan itu, MEF mahu kedua-dua majikan dan pekerja membuat caruman 1 peratus daripada jumlah gaji setiap bulan.

shamsuddin-bardan-mef-myanmar-1
KUALA LUMPUR:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan akaun ketiga diwujudkan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai skim simpanan untuk pekerja yang diberhentikan kerja mendapat faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang bakal diperkenalkan.

Di bawah cadangan itu, pengarah eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kedua-dua majikan dan pekerja akan membuat caruman 1 peratus daripada jumlah gaji setiap bulan.

“Sebagai contoh, majikan dan pekerja masing-masing mencarum 1 peratus daripada jumlah gaji setiap bulan selama 8 tahun yang mana jumlah akaun akan mencecah nilai sebulan gaji.

“Jika pekerja itu diberhentikan perkhidmatan secara bukan sukarela, mereka boleh mengeluarkan simpanan berkenaan. Jika tidak diberhentikan, maka ia boleh menjadi simpanan persaraan,” kata beliau kepada Bernama.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung persetujuan kerajaan melaksanakan SIP yang melibatkan kira-kira 6.5 juta pekerja tempatan dalam sektor swasta.

Kelmarin, Perdana Menteri dilapor berkata, undang-undang mengenai SIP sedang digubal dan akan dibentangkan di Parlimen pada Jun ini manakala penguatkuasaannya dijangka pada 1 Januari tahun depan dengan bayaran faedah boleh dibuat bermula 1 Januari 2019.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, pihak kerajaan hendaklah memperuntukkan 1 dana khas bagi tujuan itu, menjadikan jumlah manfaat diperoleh berjumlah nilai 3 bulan gaji seperti yang dicadangkan di bawah SIP.

Menurut beliau, SIP bertujuan membantu mereka yang kehilangan pekerjaan mendapatkan bantuan kewangan dan mencari pekerjaan baharu.

Kata beliau, sistem itu tidak terpakai kepada mereka yang berhenti kerja secara sukarela.

“Banyak yang keliru dan mengatakan SIP akan bayar faedah pemberhentian kerja. Sebenarnya SIP tidak ada kaitan dengan faedah pemberhentian kerja.

“SIP hanya akan membayar bantuan kepada pekerja yang diberhentikan bukan secara sukarela untuk selama 6 bulan dengan bayaran purata setengah bulan gaji,” kata beliau lagi.

Sementara itu, presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, pelaksanaan SIP dilihat mampu mengurangkan beban majikan ketika krisis pemberhentian kerja berlaku.

“Apabila berlaku ‘retrenchment’ atau penutupan operasi, syarikat berkemungkinan menghadapi kebuntuan tunai, jadi 1 peruntukan undang-undang lain perlu dalam memenuhi tuntutan pekerja,” katanya.

Menerusi SIP juga kata beliau, mereka yang kehilangan pekerjaan akan diberikan latihan semula atau peningkatan kemahiran bagi meningkatkan kebolehankerjaan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.