Keluarga buat laporan Amanah salah guna nama Nik Aziz

Keluarga buat laporan Amanah salah guna nama Nik Aziz

Keluarga Nik Aziz menganggap tindakan Amanah itu sebagai satu penghinaan terhadap bekas menteri besar Kelantan itu 'yang konsisten dalam perjuangan PAS ketika beliau masih hidup'.

nik-abduh
PETALING JAYA: Satu laporan polis dibuat keluarga bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini terhadap Amanah.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang dipetik Harakah Daily berkata, abangnya, Nik Adli, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di Pengkalan Chepa pada jam 10.30 pagi tadi.

Beliau berkata, sebuah seminar anjuran Amanah menjaja nama bapanya yang dianggap satu penghinaan kepada Nik Aziz yang sentiasa konsisten dalam perjuangan PAS ketika beliau masih hidup.

“Amanah mahu menganjurkan sebuah seminar menggunakan nama tok guru dan parti itu mendakwa bapa saya akan menyokong Amanah, jika beliau masih hidup.

“Saya menganggap ini satu penghinaan kepada bapa saya,” katanya pada sidang media di rumah keluarganya di Pulau Melaka, Kota Bharu, hari ini.

Nik Abduh berkata, keluarganya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap Amanah, jika pemimpin parti itu terus menggunakan nama bekas mursyidul am PAS itu demi kepentingan politik mereka.

Amanah melalui laman webnya http://amanahdaily.com pada 20 Mac lalu mengumumkan parti itu menganjurkan seminar “Pemikiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat” pada 9 April ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.