RM10,000 hadiah pertandingan tulis artikel fasal Kit Siang

RM10,000 hadiah pertandingan tulis artikel fasal Kit Siang

Ketua penerangan Umno itu berkata artikel itu haruslah mempunyai kaitan dengan penasihat DAP itu dan diberi tajuk "Adakah benar Lim Kit Siang seorang rasis, anti Islam dan 51 tahun diktator?".

annuar-musa-limkitsiang-artikel
KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa berkata beliau mahu mengadakan pertandingan menulis artikel dengan tawaran hadiah RM10,000 tunai kepada sesiapa yang dapat menulis artikel tentang ahli politik veteran Lim Kit Siang.

Ketua penerangan Umno itu berkata artikel itu haruslah mempunyai kaitan dengan penasihat DAP itu dan diberi tajuk “Adakah benar Lim Kit Siang seorang rasis, anti Islam dan 51 tahun diktator?”.

“Tujuan saya adakan pertandingan ini untuk mencari bahan bukti daripada orang ramai berkaitan apa yang saya pernah tuduh dia.

“Kemungkinan orang ramai boleh buat kajian dan bacaan, kerana isu Kit Siang boleh didapati di mana-mana saja,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Annuar berkata peserta pertandingan boleh membuat artikel itu berdasarkan bahan daripada keratan buku, akhbar dan majalah.

“Rakaman suara ataupun video berkaitan juga boleh digunakan,” katanya sambil menambah pertandingan itu terbuka sekarang hingga akhir Mei depan.

Annuar juga menggesa individu yang membuka akaun Instagram, penulisan blog atau artikel berkaitan Kit Siang, supaya menghantarkan bahan berkenaan di pejabatnya di PWTC sebelum 30 Mei ini.

“Ini peluang anda untuk menang wang, ia bukannya main-main,” katanya.

Annuar berkata kenyataan terhadap Lim mestilah dibuat berdasarkan beberapa fakta termasuk daripada ucapan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui penasihat DAP itu seorang rasis.

Sebelum ini, Annuar pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat mengeluarkan kenyataan Lim sebagai rasis, anti Islam dan diktator politik berdasarkan tindak-tanduknya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu bagaimanapun mencabar Annuar untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan sekali lagi di luar Dewan Rakyat dan terus disambut Annuar yang berulang kali mengatakan Lim rasis, anti Islam dan diktator.

Lim terus bertindak membalas serangan Annuar dan mengatakan ahli Parlimen Ketereh itu sebagai “bapa segala rasis” dan Annuar dikatakan melakukan penghinaan besar kepada Islam.

Lim juga dikatakan mengancam untuk mengambil tindakan saman ke atas tuduhan yang dibuat Annuar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.