
Ibrahim Mat Zin diarah memberi penjelasan berhubung video yang kini viral menunjukkan dirinya mengadakan upacara ritual di pantai kononnya bertujuan melindungi Malaysia daripada serangan nuklear Koera Utara, lapor The Star.
“Pada 22 Mac, Jakim mengambil inisiatif memanggil Ibrahim untuk mendengar penjelasannya mengenai rakaman video belia melakukan ritual, tetapi dia tidak datang,” kata Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan.
Video 3 minit itu menunjukkan Ibrahim dan 3 pembantunya masuk ke dalam air dengan 2 kelapa, sepasang kayu digunakan sebagai teropong, 5 meriam buluh, permaidani dan semangkuk air laut.
Othman berkata: “Beberapa negeri bersetuju dalam mesyuarat jawatankuasa fatwa negeri yang upacara dan amalan Ibrahim Mat Zin atau Bomoh Ibrahim Mat Zin yang menggunakan objek tertentu bertentangan ajaran Islam dan haram.”
Beliau berkata kajian panel pakar Jakim juga mendapati upacara Ibrahim mengandungi elemen penyembahan berhala dan amalan karut.
Sementara itu, pada 20 Mac, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan memanggil Ibrahim susulan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya.
Khalid berkata: “Cukuplah, jangan lakukan perkara yang mengarut. Perbuatan dia jelas memalukan orang Melayu. Saya minta dia hentikan dan jadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan.”
Ibrahim sebelum ini membuat upacara ritual di luar Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur susulan pembunuhan Kim Jong Nam, abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Dia melakukan ritual itu berikutan ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara selepas pembunuhan Jong Nam di klia2 pada 13 Februari.