Ingkar arahan, Husam Musa diarah keluar DUN Kelantan

Ingkar arahan, Husam Musa diarah keluar DUN Kelantan

Speaker DUN Kelantan beberapa kali mengarahkan Husam Musa duduk dan memberi laluan kepada menteri besar menyambung penggulungannya, namun terus diingkari adun Salor itu.

husam-musa
KOTA BHARU:
Adun Salor, Datuk Husam Musa diarah Datuk Abdullah Ya’kub meninggalkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan selepas mengingkari peraturan Dewan.

Perintah kepada bekas exco kerajaan negeri itu dikeluarkan pada penghujung persidangan, iaitu kira-kira 5 minit sebelum sidang DUN tamat.

Arahan itu dikeluarkan selepas speaker beberapa kali memberi amaran kepada Husam atas tindakannya mencelah dan mengganggu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang sedang menggulung titah Pemangku Raja Kelantan.

Husam sebelum itu bangun mempersoalkan kredibiliti Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Nassuruddin Daud yang bercakap mengenai isu sumpah, bai’ah dan lafaz taklik ketika sesi penggulungan.

Bagaimanapun, Ahmad enggan memberi laluan.

Abdullah kemudian beberapa kali mengarahkan Husam duduk dan memberi laluan kepada Ahmad untuk menyambung penggulungannya, namun terus diingkari Husam, menyebabkan beliau diarahkan keluar dewan.

Husam ketika ditemui pemberita di luar dewan berkata, beliau terkejut selepas diarahkan keluar dewan, namun bertekad terus hadir persidangan DUN akan datang.

Sementara itu, Ahmad berkata, setiap adun perlu mematuhi peraturan dewan kerana kerajaan memberi peluang berbahas semalam, namun Husam tidak menggunakan peluang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.