Hindraf: MIC ‘lemah’ dalam isu syariah

Hindraf: MIC ‘lemah’ dalam isu syariah

Parti itu tidak berani menentang Islamisasi yang dilakukan secara tidak berperlembagaan

waytha-2
KUALA LUMPUR:
Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) membidas MIC yang disifatkan sebagai “lemah” kerana tidak maklum mengenai langkah meminda hukuman syariah di Parlimen.

Pengerusi Hindraf P Waytha Moorthy hari ini geli hati membaca keadaan MIC yang dilaporkan itu.

“Saya rasa terhibur apabila pengerusi MIC berkata mereka sedang menunggu diberi taklimat oleh perdana menteri sedangkan pindaan sepanjang 2 perenggan itu sudah berlegar lebih setahun,” katanya.

Presiden MIC Dr S Subramaniam dilaporkan memberita pemberita perkara itu tidak dimaklumkan kepada MIC.

Katanya lagi MIC sudah menyuarakan pandangannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat 2 minggu lepas.

Beliau menambah MIC akan mengumumkan pendiriannya selepas Najib, yang juga pengerusi BN, bertemu pimpinan parti mengenai perkara itu tidak lama lagi.

Waytha berkata kenyataan Subramaniam membuktikan MIC dan 11 ahli perikatan BN yang lain “lemah dan hamba Umno”.

“Mereka tidak berani menentang Islamisasi yang dilakukan secara tidak berperlembagaan untuk mengatasi keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan.”

Beliau berkata rakan perikatan BN seperti “penonton” yang “tergilis” apabila Umno meneruskan rang undang-undang itu.

Pada 17 Mac lepas, timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi berkata kerajaan pimpinan Umno akan membentangkan rang undang-undang meminda syariah yang diusulkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Beliau berkata Umno sedia kehilangan beberapa kawan lama kerana akan memperoleh rakan baru, merujuk kepada PAS, yang akan bersama Umno dalam kumpulanyang lebih besar.

Hadi mengemukakan rang undang-undang persendirian itu di Dewan Rakyat tahun lepas.

Ia mahu meningkatkan hukuman maksimum kesalahan syariah kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan. Hukuman syariah ketika ini terhad kepada penjara tidak melebihi 3 tahun, denda maksimum RM5,000 dan 6 sebatan rotan.

Waytha “kagum” melihat Zahid tidak peduli pandangan rakan perikatan mengenai perkara itu.

Beliau berkata masyarakat bukan Islam, mewakili 45% penduduk Malaysia, serta ramai orang Islam yang gusar terkejut melihat sikap itu.

“Kesimpulannya rakan perikatan hanya tukang lulus dalam usaha hegemoni Umno untuk mengekalkan kuasa, melihat kepada ketakupayaan dan ketakcekapan MIC,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.