
Menteri belia dan sukan itu berkata kejayaan itu mampu dicapai apabila Malaysia kembali menjadi tuan rumah selepas 16 tahun tidak mengepalai sukan terbesar Asia Tenggara itu.
“Tahun ini kita ada satu acara sukan besar yang dinantikan seluruh penyokong sukan negara iaitu sukan SEA dan Sukan Para Asean yang akan berlangsung pada Ogos dan September tahun ini.
“Dengan sokongan rakyat Malaysia, saya janji Malaysia akan muncul sebagai juara keseluruhan Sukan SEA pada 2017,” katanya ketika berucap merasmikan Bina Darulaman Berhad (BDB) Triple Challenge 2017 di Taman Botani Perdana hari ini.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001, dan kini selepas 16 tahun Malaysia sekali lagi akan bertindak sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-29 pada tahun ini.
Mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Myanmar pada 2012 mengesahkan giliran Malaysia untuk menjadi tuan rumah sukan dwitahunan serantau itu pada 2017 berikutan tiada negara yang bersedia menawarkan diri sebagai tuan rumah.
Sabtu lalu, sebanyak 33 sekolah di seluruh negara dipilih untuk mempromosikan Sukan SEA di bawah program KL2017@Sekolah.
Khairy berkata sukan anjuran BDB selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan.
“Menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan tidak akan menjadi kenyataan sekiranya kita tidak mendapat kerjasama daripada sektor korporat seperti BDB.
“Malaysia antara negara yang banyak berdepan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti dan sakit jantung, jadi dengan adanya sukan sebegini ia dapat mengurangkan penyakit tersebut,” katanya.