
Mengulas tulisan blog Zainuddin baru-baru ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, debat itu tidak akan mengancam negara.
Beliau menyifatkan kata-kata bekas Menteri Penerangan itu, yang turut dikenali sebagai Zam, sebagai “mengarut”.
“Malaysia negara bebas,” kata Nazri.
“Saya tidak memerlukan kebenaran parti. Beritahu orang bodoh itu supaya diam.”
Nazri juga memberitahu FMT, isu debat tidak disentuh langsung oleh Kabinet dalam mesyuarat mingguannya semalam, yang dihadiri oleh kedua-dua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Zainuddin dalam blognya berkata, Nazri sepatutnya mendapatkan kebenaran Umno sebelum menerima cabaran Mahathir.
Beliau berkata, Umno tidak akan membenarkan debat atas alasan ia melanggar disiplin parti.
Debat itu dijadual akan berlangsung di Kuala Kangsar, Sabtu depan.
Nazri berkata, beliau berharap polis akan membenarkannya.
Malah kata Nazri, beliau akan mendapatkan campur tangan Zahid jika polis enggan memberi kebenaran. Timbalan Perdana Menteri juga merupakan Menteri Dalam Negeri.
Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Hasnan Hassan memberitahu pihaknya belum menerima sebarang permohonan bagi mengadakan perhimpunan itu, di mana debat tersebut akan berlangsung.
Menurut beliau, perhimpunan itu haram jika diadakan tanpa permit polis.
“Saya harap polis akan membenarkan debat diteruskan,” kata Nazri.
“Jika polis tidak membenarkan, saya akan bercakap terus kepada Timbalan Perdana Menteri,” ujar beliau.