Fenomena kepala air punca lemas, 2 mangsa masih hilang

Fenomena kepala air punca lemas, 2 mangsa masih hilang

Hujan lebat selama 2 jam di sekitar kawasan berkenaan menyebabkan berlaku fenomena kepala air sehingga arus deras setinggi 5 meter melanda kawasan anak sungai.

R-Supramaniam_polis_lemas_600
HULU SELANGOR:
Dua daripada 8 kanak-kanak yang dihanyutkan air deras di Sungai Selangor, di Kampung Timah, Bukit Beruntung di sini, semalam masih belum ditemui, kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R. Supramaniam.

Beliau berkata, setakat pukul 1 tengah hari tadi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa berkenaan, Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 10, dan Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12, masih giat dijalankan.

“Pada awalnya, Muhammad Ikhwan dilaporkan telah ditemui, namun selepas pengecaman dibuat keluarga mangsa, mayat yang dijumpai pada pukul 10.05 malam tadi dikenal pasti sebagai Muhammad Iskandar Shah Abdullah, 12,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, 8 kanak-kanak berusia 9 hingga 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika menangguk ikan di sungai itu.

Seorang daripada mereka selamat manakala 5 lagi ditemukan lemas.

Lima mangsa yang meminggal dunia dikenali sebagai pasangan adik-beradik, Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan, 10, Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12 dan Muhammad Iskandar Shah, 12.

Supramaniam berkata, operasi SAR diteruskan pada pukul 8 pagi ini melibatkan kekuatan lebih 80 anggota Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Katanya, pihaknya kini memperluaskan radius kawasan pencarian 2 kanak-kanak yang masih hilang itu kepada lebih 8 kilometer.

Mengulas lanjut, katanya, fenomena kepala air menjadi punca mangsa dihanyutkan arus deras secara tiba-tiba.

“Hujan lebat selama 2 jam di sekitar kawasan berkenaan menyebabkan berlaku fenomena kepala air sehingga arus deras setinggi 5 meter melanda kawasan anak sungai.

“Kebiasaannya paras air di sungai itu cetek dan memang kanak-kanak boleh bermain di kawasan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.