Interpol keluar notis merah buru 4 suspek Korea Utara

Interpol keluar notis merah buru 4 suspek Korea Utara

Ketua polis negara berharap dapat menangkap 4 suspek itu melalui Interpol.

khalid-abu-bakar_kim-jong-nam_60012
PUTRAJAYA:
Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah untuk menangkap 4 suspek Korea Utara yang terlibat dalam pembunuhan Kim Jong Nam, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Saya mahu memaklumkan yang kami (polis) sudah memperolehi notis merah Interpol untuk menangkap 4 suspek warga Korea Utara yang dipercayai berada di Pyongyang sekarang…kami berharap dapat menangkap mereka melalui Interpol,” kata ketua polis negara selepas menghadiri majlis penutup Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya 2017 hari ini.

Notis merah Interpol bermaksud usaha mencari dan menahan individu dikehendaki akan dilakukan suatu bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa, dengan tujuan mengekstradisi.

Polis Malaysia sebelum ini memburu 8 lelaki Korea Utara bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong Nam, termasuk Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, Hyon Kwang Song, 44; pekerja syarikat penerbangan Korea Utara Air Koryo, Kim Uk Il, 37, serta seorang individu bernama Ri Ji U.

Satu-satunya suspek Korea Utara, Ri Jong Chol yang direman pada 18 Februari lalu, dibebaskan kerana kekurangan bukti dan diusir dari negara ini pada 3 Mac lalu.

Empat lagi suspek dikatakan melarikan diri dari Malaysia pada hari kejadian dan kembali ke Pyongyang ialah Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57.

Abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un, itu didakwa dibunuh 2 wanita asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX, ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 untuk menaiki pesawat ke Macau.

Dua wanita warga asing – Siti Aisyah, 25, dari Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, dari Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu atas pertuduhan membunuh Jong Nam.

KPN: Dua individu dikehendaki masih dalam kedutaan Korea Utara

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.