
Baginda berkata diramalkan persaingan dan perebutan untuk mendapatkan sumber air boleh menjadi punca yang memungkinkan manusia berperang pada masa akan datang.
“Rakyat wajib sedar bekalan air yang tidak mencukupi bakal mencetuskan krisis kerana air adalah keperluan paling asas kehidupan dan satu perlima daripada penduduk dunia dilaporkan tidak mendapat akses kepada air yang boleh diminum.
“Kebelakangan ini beberapa kawasan di negara kita turut mengalami krisis kekurangan bekalan hingga catuan air terpaksa dilakukan,” titahnya ketika merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Senawar di sini hari ini.
Sultan Nazrin berkata dalam usaha meminimumkan bencana daripada risiko yang sedang dihadapi, tindakan secara proaktif, strategik dan terancang perlu dilakukan termasuk memelihara dan memulihara sumber air serta kawasan tadahan air dengan memastikan alam sekitar yang mapan.
Katanya, usaha lain yang perlu dilaksanakan adalah mengurus sumber air secara bersepadu, menaik taraf sistem air sedia ada dengan merintis teknologi baru serta mempelbagaikan sumber air dengan meneroka sumber alternatif termasuk potensi air bawah tanah air selain penuaian air hujan.
Program pendidikan juga perlu dipergiat agar pengguna sedar dan turut mengambil tanggungjawab memelihara sumber air dan tidak melakukan pembaziran, titah Sultan Nazrin.
Baginda berkata memelihara dan memulihara sumber air serta budaya menggunakan air secara berhemah dan optimum merupakan tanggungjawab setiap rakyat.
“Rakyat yang selama ini dilahirkan dan dibesarkan dalam persekitaran tropika beranggapan air bahan yang mudah diperoleh wajib disedarkan akan tanggungjawab menghargai air, tidak melakukan pencemaran terhadap sumber air dan dididik tidak membazir,” katanya.
Baginda berkata program pendidikan tentang nilai dan kepentingan air, serta tanggungjawab bersama untuk memelihara dan memulihara sumber air perlu disemaikan dalam keluarga, sekolah, tempat bekerja, badan bukan kerajaan serta pertubuhan sukarela dan di rumah ibadat.
Mengenai LRA berkenaan, Sultan Nazrin berkata ia langkah bertanggungjawab dalam memenuhi peranan yang amat penting untuk memenuhi keperluan asasi rakyat dan ia perlu dihargai.
“Semoga kualiti hidup rakyat akan terus meningkat dan rakyat pula menunjukkan sifat syukur dengan menghargai persekitaran dan memulihara sumber-sumber air demi kepentingan anak cucu kita pada masa depan,” katanya.
Projek pembinaan LRA Kampung Senawar dimulakan pada Ogos 2014 dan siap pada April 2016 dengan kos bernilai RM46.2 juta.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris; Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim serta Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.