Badan Peguam digesa larang hidang arak

Badan Peguam digesa larang hidang arak

Bajet penganjuran sesuatu acara meningkat sehingga 40% apabila 'beer' dan 'liquor' dihidangkan, kata Amir Bahari

Amir-Bahari
PETALING JAYA:
Peguam yang mencetuskan kekecohan bulan lalu yang mahu ‘mengislamkan’ Majlis Peguam Malaysia menonjol sekali lagi apabila mencadangkan usul baru iaitu larangan alkohol di dalam acara yang dianjurkan badan itu.

Mohd Amir Sharil Bahari Md Noor mengfailkan usul untuk dibahas di mesyuarat am tahunan badan itu.

Beliau kata ahli Majlis Peguam terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama, dan pengunaan alkohol dilarang hampir semua agama.

Peguam yang lebih dikenai sebagai Amir Bahari di kalangan rakan sekerja berkata bajet untuk menganjurkan sesuatu acara meningkat sehingga 40% apabila ‘beer’ dan ‘liquor’ dihidangkan.

“Peningkatan penggunaan alkohol akan membahayakan seseorang dan dari segi kesihatan ia akan membawa kepada ketagihan dalam jangka masa yang panjang,” katanya dalam usul yang akan dibahaskan Sabtu ini.

Peguam yang mengendalikan kes syariah itu berkata keperluan menghidangkan alkohol pada setiap acara badan itu akan terus dipersoalkan.

FMT difahamkan alkohol dihidangkan pada setiap acara Majlis Peguam peringkat negeri dan kebangsaan tetapi sesiapa mengambilnya perlu membayar sendiri dan tidak dikira sebagai sebahagian daripada kos acara tersebut.

Amir berkata menghapuskan amalan menghidangkan alkohol akan menjadi kejayaan patuh syariah terbesar oleh Majlis Peguam Syarie.

Amir mendakwa hidangan alkohol akan menyebabkan peguam beragama Islam tidak selesa untuk hadir.

Sebelum ini, Amir pernah memfailkan usul untuk mencela rakan peguamnya, Siti Kasim yang memuat naik video prosiding Badan Peguam Kuala Lumpur.

Beliau mahu Majlis Peguam merujuk Siti Kasim kepada lembaga disiplin kerana salahlaku profesional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.