
Menurutnya, apa yang membezakan PAS dan Umno adalah pendekatan Islam yang dibawa parti Melayu itu menjadikan rakyat bukan Islam di negara ini yakin dengan usaha memperkasakan Islam.
“Inilah pendekatan yang dipelopori oleh Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Mahathir sehingga kepada Tun Abdullah Badawi. Inilah juga yang memisahkan Umno dan PAS,” kata Zainuddin yang popular dengan panggilan Zam, dalam penulisan blognya.
Zam berkata demikian ketika mengingatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) supaya tidak menyokong rang undang-undang (RUU) yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Saya suka mengingatkan agar berhati hati dalam menyokong Akta 355 kerana PPBM sahajalah yang diharapkan oleh bukan Melayu untuk mengambil peranan Umno dalam pendekatan Islam yang berhemah di negara ini,” kata Zam.
RUU Hadi bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau Akta 355, mendapat sokongan beberapa pemimpin kanan Umno, dan bertujuan membenarkan hukuman lebih berat ke atas pesalah Islam yang disabit oleh mahkamah syariah.
Semalam, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyokong RUU itu dalam perbincangan kedua-dua parti itu.
Ia di sebalik siri kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri yang kini pengerusi PPBM, yang membidas PAS dan mengkritik RUU berkenaan.
Zam berkata sikap “kolot” PAS dalam perjuangannya mengalihkan sokongan bukan Islam kepada Umno “yang tidak mahu mengganggu kebebasan budaya dan agama bukan Islam di negara ini”.
“Ancaman Islam PAS kepada bukan Islam dapat dirasakan oleh orang bukan Islam di Selangor bila sahaja menubuhkan kerajaan bersama dengan PKR di Selangor dengan melakukan percubaan untuk mengharamkan penjualan arak termasuk di kedai bukan Islam dan juga mahu memisahkan penonton lelaki dan perempuan di panggung wayang,” katanya merujuk kontroversi dicetuskan pada 2009.
Tunku tak kuat agama, tetapi…
Zam turut berkata Tunku Abdul Rahman lebih berjaya meninggikan syiar Islam di negara ini, walaupun tokoh kemerdekaan itu “bukan seorang yang kuat amalam agamanya”.
“Wajah manis Islam inilah juga yang menyebabkan berkekalannya kerjasama Umno, MCA dan MIC berpuluh tahun berbanding dengan hubungan rapuh antara PAS dengan DAP semata-mata untuk keselesaan politik.”
Tambahnya, pemimpin Islam Umno di masa lampu melambangkan Islam yang sederhana, moden, progresif, toleransi dan dasar hidup bersama, sebaliknya “PAS melambangkan kekarutan dan kebengisan Islam”.
Beliau menceritakan bagaimana Tunku menggunakan hikmah dalam berdakwah kepada bukan Islam yang tidak selesa dengan hukum Islam terhadap arak.
“Bila orang bukan Islam memberitahu Tunku sukar untuk mereka memeluk Islam kerana tak boleh minum arak, Tunku memberitahu mereka, ‘Orang Islam pun ada yang minum arak, masuklah Islam dulu, minumlah dulu, lama-lama tinggalkanlah’.”
Zam turut menceritakan bagaimana kebijaksanaan perdana menteri kedua, Tun Razak, membolehkan sebuah perkuburan Kristian dipindahkan bagi mendirikan Pusat Islam, tanpa menimbulkan kekecohan.
Semua itu, kata Zam, dibelakangi kepimpinan Umno sekarang.
“Usaha Umno untuk melambangkan Islam sederhana dengan pendekatan penerapan nilai Islam, Islam Madani, Islam Hadhari dan Wasatiah semuanya tercemar dalam sekelip mata bila Umno bersekongkong dengan sebuah parti Islam yang menjuarai hukuman Islam yang lebih berat ke atas orang Islam yang melakukan jenayah agama,” katanya.