
Sebuah van jenazah Kementerian Kesihatan dilihat di kawasan berkenaan sekitar 7.20 malam semalam mengikut laporan The Star.
Mayat itu dimasukkan ke dalam kenderaan terbabit dan meninggalkan kawasan itu 10 minit kemudian, menurut laporan.
Pengawal keselamatan memberitahu akhbar harian berkenaan, mereka tidak ada sebarang maklumat berhubung mayat yang dikeluarkan.
Mayat Jong Nam tersimpan di bilik mayat berkenaan sejak 15 Februari lalu, 2 hari selepas warga Korea Utara itu terbunuh di Sepang.
Pihak berkuasa juga tiada maklumat ke mana mayat itu akan dibawa jika ia dikeluarkan dari HKL.
Jong Nam adalah abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un yang terbunuh semasa menunggu penerbangan ke Macau.
Beliau diserang oleh 2 wanita dipercayai menggunakan agen saraf VX, bahan diklasifikasikan sebagai senjata pemusnah besar-besaran oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Jong Nam mati 20 minit selepas serangan dan 2 wanita, seorang warga Indonesia dan seorang lagi warga Vietnam didakwa atas pembunuhan itu.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, identiti mayat itu sudah dikenalpasti tetapi beliau enggan mengulas lanjut bagaimana pihak berkuasa mendapat pengesahan itu.
“Kami memenuhi kehendak undang-undang dalam proses pengecaman mayat.
“Untuk keselamatan saksi saya tidak akan beritahu anda bagaimana ia selesai,” katanya kepada pemberita.
Apabila ditanya adakah pihak berkuasa ada mendapatkan sampel DNA daripada ahli keluarga Jong Nam, Khalid tetap tidak menjawab.
Sebelum itu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahaya berkata mayat Jong Nam boleh dikebumikan di Malaysia jika tiada waris yang menuntut mayatnya.
Kata Hilmi, setakat ini tiada peraturan yang mengehadkan tempoh masa untuk mayat disimpan di hospital.
Di Malaysia, tidak ada peraturan ditetapkan berapa lama untuk lepaskan mayat.