Mangsa, lelaki rogolnya berkahwin pilihan terbaik?

Mangsa, lelaki rogolnya berkahwin pilihan terbaik?

Pun begitu peguam syarie Faiz Fadzil meletakkan syarat di sebalik hujahnya: kedua-dua pihak terbabit harus bersetuju untuk mendirikan rumah tangga.

fadzil-3
KUALA LUMPUR:
Pendekatan membolehkan mangsa rogol bawah umur berkahwin dengan lelaki yang merogolnya bukan satu pilihan yang buruk, kata peguam syarie Faiz Fadzil.

Pun begitu beliau meletakkan syarat di sebalik hujahnya: kedua-dua pihak terbabit harus bersetuju untuk mendirikan rumah tangga.

“Di bawah undang-undang sivil, jika seorang perempuan bawah 18 tahun mengadakan hubungan seks dengan lelaki yang lebih tua, maka ia dianggap rogol.

“Dalam kes di mana kedua-dua perempuan dan lelaki beragama Islam, mereka mengadakan hubungan seks secara rela dan akibatnya gadis itu hamil, mungkin demi kepentingan kedua-dua gadis dan kanak-kanak itu, mereka boleh berkahwin,” kata beliau pada satu forum mengenai undang-undang keluarga Islam di Cheras di sini.

Faiz memberitahu, keadaan itu boleh menjadi realiti jika kedua-dua pihak bersedia untuk berkahwin.

Beliau yang juga timbalan ketua Pemuda Amanah berkata, mengikut amalan mahkamah syariah, jika gadis terbabit berusia 16 tahun, dia boleh berkahwin dengan lelaki berkenaan jika mahkamah membenarkan.

Beliau tidak menolak mereka yang menentang idea sedemikian atas alasan peluang pendidikan gadis terbabit akan terjejas.

Walaupun bersetuju yang ia satu kebimbangan yang sah, beliau berkata, masyarakat juga perlu mengambil kira kehendak gadis itu serta apa yang terbaik bagi dirinya.

Beliau melihat perkahwinan sebagai satu tindakan bertaubat bagi umat Islam yang melakukan hubungan seks di luar perkahwinan.

“Kita juga perlu ingat bahawa bayi dalam kandungan mempunyai hak untuk pendidikan yang baik dan ini boleh menjadi sukar jika bayi luar nikah lahir.”

Beliau juga menegaskan, jika perkahwinan tidak berlaku, siasatan berhubung kesalahan rogol akan berterusan.

Malah menurut beliau, jika lelaki terbabit didapati bersalah dan kemudiannya dihukum kerana jenayah itu kelak, ada kemungkinan dia akan menolak untuk mengambil tanggungjawab ke atas kanak-kanak itu pada masa akan datang.

Dalam kes ini, kata Faiz, senario terbaik adalah jika seorang perempuan itu dibenarkan untuk berkahwin dengan lelaki yang merogolnya jika dia mahu.

Beliau juga memberi jaminan gadis terbabit akan dapat meneruskan pelajaran.

Dalam hal ini, tambah beliau, terserah kepada bakal suami dan keluarga berkenaan untuk memastikan yang gadis terbabit terus mendapat pendidikan terbaik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.