Ku Nan label Teresa Kok wakil rakyat tidak faham

Ku Nan label Teresa Kok wakil rakyat tidak faham

Tengku Adnan berkata, tindakan Ahli Parlimen itu juga mungkin didorong faktor politik semata-mata.

ku-nan-teresa
KUALA LUMPUR:
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menyelar tindakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mengadakan bantahan terhadap projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) di kawasan berkenaan semalam.

Menyifatkan wakil rakyat itu “tidak faham” dengan usaha pelaksanaan program yang juga dikenali sebagai pembaharuan bandar itu, Tengku Adnan dipetik Bernama berkata, tindakan Kok itu juga mungkin didorong faktor politik semata-mata.

“Dia tidak suka kita sediakan benda-benda ini (pembangunan) dalam kawasan dia, barangkali dia fikir demografi (akan berubah), dia takut kita bawa orang Melayu lebih ramai ke Seputeh, sedangkan kita lakukan ini untuk semua rakyat tidak kira bangsa,” katanya selepas merasmikan program Jom Bantu Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, di sini hari ini.

Semalam FMT melaporkan bahawa sidang akhbar yang dihadiri Kok di luar pejabat Umno Seputeh kecoh apabila ada pihak cuba untuk mengganggunya dengan berkata kumpulan itu tidak sensitif dengan tetamu yang sedang menghadiri majlis perkahwinan di dalam bangunan.

Sidang akhbar itu diadakan oleh penduduk Taman Desa kerana membantah rancangan pembangunan pangsapuri tinggi di kawasan itu, bukannya pusat komuniti.

Seorang lelaki berbaju biru meminta mereka berhenti berkumpul di situ dan berkata: “Hormat kami! Pergi buat sidang akhbar tempat lain. Apa awak rasa kalau orang berkumpul luar rumah awak?”

Kekecohan itu tercetus kerana salah satu papan tanda protes yang dipamerkan ketika sidang akhbar itu tertera: “Rakyat Malaysia tak nak TPPA” dan satu lagi ditulis “Wahai DBKL! Bersama melestarikan Kuala Lumpur – Penduduk Desa”.

Lelaki berbaju biru terbabit dengan nada suara tinggi berkata “ini tempat Umno”, tetapi salah seorang pembantu Kok yang turut meninggikan suara bertegas menyatakan kawasan itu tempat awam.

Keadaan kembali reda hanya selepas salah seorang pengurus perkahwinan itu menjelaskan yang sidang akhbar itu mengganggu tetamu yang hadir ke majlis persandingan di dalam bangunan.

Kok yang juga ahli Parlimen Seputeh kemudian bersetuju untuk mengadakan sidang akhbar dengan cepat.

“Anda lihat apa jenis penindasan yang berlaku di sini.

“Tempat ini sepatutnya jadi pusat komuniti, tapi sekarang ia pejabat Umno Seputeh dan DBKL hendak merobohkannya dan membina kondominium,” katanya kepada wartawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.