Mayat Jong Nam boleh dikebumi di Malaysia jika tidak dituntut

Mayat Jong Nam boleh dikebumi di Malaysia jika tidak dituntut

Setakat ini tiada peraturan yang mengehadkan tempoh masa untuk mayat disimpan di hospital.

Datuk-Seri-Dr-Hilmi-Yahaya
BALIK PULAU:
Kementerian Kesihatan belum memutuskan sebarang tindakan bagi pengurusan mayat Kim Jong Nam, warga Korea Utara yang dibunuh di negara ini pada 13 Februari lepas.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan mayat Jong Nam diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk urusan seterusnya kerana tidak ada waris yang menuntutnya setakat ini.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, setakat ini tiada peraturan yang mengehadkan tempoh masa untuk mayat disimpan di hospital.

“Tiada sebarang had masa atau tempoh tertentu bagi tuntutan mayat… memandangkan kes ini berprofil tinggi, kita tidak boleh terburu-buru membuat keputusan.

“Kementerian akan putuskan perkara ini. Di Malaysia, tidak ada peraturan perlu tempoh berapa hari, berapa bulan untuk lepaskan mayat…tiada had masa,” kata beliau dipetik Bernama.

Dr Hilmi berkata, kerajaan mempunyai masa untuk memutuskan sebarang langkah bagi pengurusan mayat Jong Nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Berhubung sama ada tuntutan mayat perlu diserahkan kepada keluarganya, Dr Hilmi berkata, kebiasaannya jika terdapat sebarang kematian, mengikut undang-undang negara ini mayat harus diserahkan kepada waris si mati.

Sekiranya si mati tidak dituntut langsung oleh waris atau keluarganya, mayat itu boleh dikebumi di Malaysia.

Jong Nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika menunggu penerbangan ke Macau.

Beliau dihampiri dua wanita yang menekup mukanya dengan bahan yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.