
Jamil semalam meminta semua masjid dan surau di seluruh negara berbuat demikian selepas solat Jumaat esok dan diteruskan “sehingga kemelut ini selesai”.
“Semoga usaha murni ini diberkati dan dirahmati Ilahi,” katanya dalam kenyataan.
Seruan sama dibuat PAS melalui Dewan Ulama, yang mengajak umat Islam mengadakan solat khas itu.
“Kita perlu meminta petunjuk dan bimbingan Allah Ta’ala dalam berhadapan dengan krisis ini,” menurut Muhammad Ismi Mat Taib bagi pihak sayap PAS itu.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata parti itu akan menganjurkan solat hajat di seluruh negara malam ini.
“Pada masa yang sama, semua ahli PAS dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai propaganda di media sosial yang tidak berfakta dan bertanggungjawab,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.
Hubungan Malaysia dan Korea Utara kini di tahap paling tegang sejak kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik pada 1973.
Ia susulan kematian Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, selepas diserang 2 wanita, yang dipercayai diupah Korea Utara, dakwaan yang ditolak Pyongyang sejak awal.
Malaysia dan Korea Utara sudah pun menghantar pulang kedua-dua dutanya, dan minggu ini kedua-dua kerajaan berkeras menghalang rakyat masing-masing pulang ke tanah air.
Ia mengancam membawa pertelingkahan itu ke tahap baharu menyamai tebusan, ekoran dakwaan polis yang suspek warga Korea Utara yang terlibat dalam pembunuhan Jong Nam masih bersembunyi di dalam bangunan kedutaan di Bukit Damansara.