Presiden Iran: Jangan biar orang masuk campur hal peribadi

Presiden Iran: Jangan biar orang masuk campur hal peribadi

Komen itu dipercayai ditujukan kepada agamawan di Iran yang kerap dituduh melanggar privasi rakyat kerana mendakwa melaksanakan syariah.

Hassan-Rouhani
PETALING JAYA:
Presiden Iran, Hassan Rouhani menyeru rakyat Iran mempertahankan hak asasi mereka, termasuk menghalang pihak yang mahu mencampuri urusan peribadi.

Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada golongan konservatif dan pihak berkuasa agama republik Islam itu, menjelang pilihan raya presiden Mei ini.

“Apabila penyiasat bertanya tentang kehidupan peribadi, mereka harus bertegas dan kata, ‘Ini ruang saya dan anda tidak mempunyai hak untuk bertanya tentang kehidupan peribadi saya’,” Rouhani dilaporkan berkata oleh Fars News.

Rouhani merupakan ulama moderat Iran yang memenangi pilihan raya presiden pada 2013.

Beliau yang berusaha mengekalkan jawatannya kini berdepan kritikan gagal memulihkan ekonomi, di samping dikritik kerana akur dengan perjanjian nuklear yang menyaksikan Tehran mula rapat dengan Washington di bawah pentadbiran Obama dulu.

Pengkritiknya, Ayatollah Ahmad Jannati, yang mengetuai panel penasihat pakar yang bersifat konservatif, mendesak Rouhani memohon maaf kepada rakyat Iran kerana gagal memulihkan ekonomi negara.

Rouhani turut dikatakan tidak disenangi pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah Ali Khamanei.

Pemerhati berpendapat, dalam usaha meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya, Rouhani mengambil jalan membicarakan isu hak dan kebebasan, topik yang menjadi perdebatan antara puak agamawan konservatif dan moderat di Iran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.