
Dr Syafiq Hasyim, pengurus besar NU, menyifatkan apa yang sedang berlaku itu “sihat dan vitamin untuk demokrasi”, katanya pada forum “Islam, Jihad dan Demokrasi” anjuran Islamic Rennaisance Front (IRF) semalam.
Beliau mengeluarkan komen demikian selepas pertikaman mulut antara pengarah filem Norhayati Kaprawi dengan seorang ahli panel dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaimi Ramle, mengenai kehadiran Dr Zakir yang ditentang beberapa pihak.
Norhayati mempersoalkan ketiadaan tokoh Islam yang bersama-sama dengan aktivis menentang Dr Zakir.
“Tentulah orang Hindu tersinggung. Seperti Muslim, semua orang menganggap agamanya benar. Bagaimana jika ada (penganut agama lain) menyatakan apa yang mereka rasa tidak betul dalam Islam?” katanya, sebelum dijawab Rozaimi yang mempertahankan Dr Zakir.
Syafiq tidak setuju dengan tindakan mahkamah bagi menghalang Dr Zakir menyampaikan pandangannya mengenai perbandingan agama, tetapi mengingatkan bahaya kebebasan bersuara dijadikan medan menyemai kebencian.
Memetik pengalaman di Indonesia susulan kontroversi melibatkan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, yang dituduh menghina Islam, Syafiq berkata apa yang menjadi persoalan bukan topik perbincangan tetapi tuduh-menuduh terhadap mereka yang tidak sependapat.
Memberi contoh, Syafiq menceritakan bagaimana sebuah pertubuhan Islam di Indonesia yang berfahaman salafi mempunyai percanggahan pendapat dengan NU mengenai persoalan agama.
“Misalnya mengenai bid’ah, perbincangan soal itu tiada masalah. Tetapi… melabel pemimpin NU sebagai kafir. Itu sudah dikira ucapan kebencian,” katanya.