
Ini susulan penangkapan Jong Chol oleh polis pada 17 Februari bagi membantu penyiasatan pembunuhan Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), 4 hari sebelum itu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 47 tahun itu berakhir esok.
Tinjauan Bernama di sebuah unit kondominium di Jalan Kuchai Lama, tempat tinggal terakhir keluarga itu mendapati ia berkunci.
Menurut seorang jiran, isteri suspek dalam kes pembunuhan itu serta 2 anak mereka meninggalkan unit berkenaan secara tergesa-gesa beberapa jam selepas Jong Chol yang juga seorang pakar IT ditangkap.
“Saya tidak tahu mereka (keluarga Jong Chol) pergi ke mana. Isteri dan anak-anak Jong Chol pergi dengan tergesa-gesa. Kami masih dalam keadaan terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.
Wartawan Bernama yang membuat tinjauan di unit kediaman keluarga itu dan cuba mendapatkan maklumat tempat mereka mungkin berada, diiringi 2 pengawal keselamatan yang memberi amaran tidak merakam sebarang gambar atau peralatan kamera akan dirampas.
Bernama difahamkan penduduk kondominium itu meminta kawalan keselamatan dipertingkatkan berikutan penangkapan Jong Chol.
Dua suspek lain, Siti Aisyah, 25 dari Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, rakyat Vietnam, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang semalam, berhubung pembunuhan Jong Nam.
Menurut laporan, Jong Nam berada di klia2 pada 13 Februari lalu untuk menaiki pesawat ke Macau apabila 2 wanita didakwa menyapu mukanya dengan cecair toksik yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.
Jong Nam yang dilaporkan meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang selepas itu, segera diberi bantuan untuk dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sana.
Mangsa tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu.