
Majistret Stephanie Sharron Abbie membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan yang masih menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara sama ada boleh membawa kes tertuduh, Leong Vin Jee, 43, ke Mahkamah Pelancongan atau sebaliknya.
Stephenie Sharron juga membuat keputusan berkenaan selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abd Kohar, terdapat sekurang-kurangya 6 lagi pertuduhan akan dibuat terhadap tertuduh.
Peguam Edward Paul yang mewakili Leong berkata, tiada bantahan berhubung permohonan itu.
Pada 5 Februari lalu, Leong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membawa penumpang melebihi had dibenarkan berdasarkan lesen bot miliknya dan dia didakwa mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 6 bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Leong dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan seorang penjamin tempatan.
Pada 4 Februari lalu, tekong bot berkenaan, Sharezza Sailin, 26, dihukum penjara 6 bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama dengan Leong.
Dalam tragedi 10 pagi 28 Januari lalu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan 3 anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.