Perkhidmatan awam terlalu dipolitikkan, kata bekas timbalan menteri

Perkhidmatan awam terlalu dipolitikkan, kata bekas timbalan menteri

Saifuddin berkata, KSU kementerian boleh kata 'tidak' kepada menteri dan berhujah mengenai keputusan kementerian.

saifuddin
SHAH ALAM: Selain jumlah penjawat awam yang ramai, masalah utama dihadapi perkhidmatan awam di negara ini ialah sektor itu terlalu dipolitikkan, kata bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, masalah itu pernah dimaklumkan beberapa bekas ketua setiausaha negara kepada beliau ketika memegang jawatan timbalan menteri pengajian tinggi.

“Mereka beritahu saya, pada satu ketika ketua setiausaha (KSU) kementerian boleh kata ‘tidak’ kepada menteri. Dulu, KSU boleh berjumpa dan berhujah dengan menteri tentang keputusan kementerian.

“Ini kerana garisan antara pentadbiran dan politik jelas,” katanya pada forum “Wujudkah Demokrasi Sebenar di Malaysia?” anjuran Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD) di Unisel, hari ini.

Saifuddin yang meninggalkan Umno dan menyertai PKR pada 15 Oktober 2015 mendakwa keadaan hari ini sudah berubah.

“Pentadbiran sekarang hanya kata ya kepada menteri. Bagi saya, garisan itu sudah dimusnahkan,” kata ketua setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan.

Sehubungan itu, Saifuddin mencadangkan proses nyahpolitik dilaksanakan dalam pentadbiran negara.

“Kita sedang menyediakan Kertas Putih bagi mereformasikan pentadbiran awam. Ini jauh melangkaui soal kecilkan jumlah kakitangan awam,” katanya.

Beliau merujuk gesaan beberapa pihak baru-baru ini, antaranya bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim yang meminta jumlah penjawat awam dikurangkan bagi mengelakkan masalah kewangan.

Sheriff mendakwa Malaysia mempunyai kira-kira 1.6 juta penjawat awam, iaitu nisbah penjawat awam kepada penduduk yang terbesar di rantau Asia Pasifik.

Pemusatan kuasa di peringkat persekutuan

Saifuddin turut menyentuh penghakisan prinsip federalisme dengan mendakwa kuasa pentadbiran semakin berpusat kepada kerajaan persekutuan.

“Federalisme ada nilai demokratik tersendiri. Kenapa semakin hari, pentadbiran kita semakin berpusat kepada kerajaan persekutuan?”

“Misalnya, apabila menteri wilayah mencadangkan Pulau Pinang dijadikan Wilayah Persekutuan, ia adalah satu contoh pemusatan melampau,” katanya merujuk cadangan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dikecam pelbagai pihak, termasuk Sultan Johor.

Hujung bulan lalu, Tengku Adnan dilaporkan berkata, jika diberi peluang, beliau mahu menjadikan Langkawi, sebahagian Melaka, Pulau Pinang dan Pulau Tioman sebagai Wilayah Persekutuan.

Katanya, ia bertujuan memastikan pembiayaan, pembangunan dan perumahan mencukupi di kawasan tersebut. Namun, cadangan itu dibantah kerajaan Pulau Pinang dan Kedah.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.