Kit Siang sokong Najib…dan ini bukan berita palsu

Kit Siang sokong Najib…dan ini bukan berita palsu

Ketua Parlimen DAP itu bersetuju dengan perdana menteri untuk memerangi 'berita palsu', tetapi menegur Najib mengenai dakwaannya 'DAP anti-Melayu atau anti-Islam' pada Perhimpunan Agung Umno lalu.

kit-siang-najib
SEBERANG PERAI:
Susulan amaran Datuk Seri Najib Razak semalam untuk memerangi penyebaran berita palsu bagi menjatuhkan kerajaan Malaysia, Lim Kit Siang hari ini mengeluh beliau turut menjadi mangsa fenomena sama.

Penasihat DAP itu mengecam sekumpulan akar umbi PAS di Selangor yang mempamerkan kain rentang tertera mukanya dengan mesej “Musuh Melayu/Islam (Rasis)” dan menyifatkan ia sebagai “satu lagi paparan berita palsu dan pembohongan”.

Terdapat beberapa kain rentang lain yang mengecam pemimpin Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dipaparkan ketika kumpulan itu menyerahkan memorandum kepada Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi di Kuala Lumpur, semalam bagi menggesa parti Islam itu memutuskan hubungan dengan mana-mana pihak yang menjalin hubungan dengan DAP dan Amanah.

“Bagaimana Nasrudin boleh mendakwa dirinya mewakili parti yang komited kepada nilai dan ajaran Islam, sedangkan beliau secara terang-terangan menjadi pihak kepada pembohongan dan berita palsu itu?” soal Lim menerusi kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut menyuarakan sokongan kepada Najib dalam usaha memerangi penyebaran berita palsu.

Beliau bagaimanapun berkata, fokusnya bukan sahaja orang yang menggunakan berita palsu untuk menggulingkan kerajaan seperti ditekankan Najib, tetapi juga mereka yang ingin terus berkuasa “walaupun sudah hilang kredibiliti dan kewajarannya”.

Bercakap di Parlimen Pekan semalam, Najib menggesa orang ramai memerangi “habis-habisan” berita, propaganda, maklumat palsu dan fitnah yang disifatkan sebagai “berita palsu” disebarkan di media sosial yang merupakan “ancaman terbesar”.

Lim berkata, tindakan menggulingkan kerajaan dalam sistem demokrasi berparlimen bukan jenayah atau khianat, tetapi ia perlu dilakukan melalui proses demokrasi, sama ada menerusi usul tidak percaya di Parlimen atau pilihan raya umum (PRU).

Lim turut menegur tindakan Najib mengisytiharkan DAP anti-Melayu atau anti-Islam dalam ucapannya sebagai presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno, 29 November tahun lalu.

Menyifatkannya “penyebaran berita palsu”, Lim mengkritik Najib kerana mendakwa PRU akan datang bakal menjadi pertandingan antara Umno dan DAP, dan orang Melayu bakal mengalami “mimpi buruk” jika Umno hilang kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.