
https://www.facebook.com/MyJakimMalaysia/posts/1428865360497362:0
Menurutnya, pandangan Nurul Haq Shahrir yang mempersoalkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang “adalah sama sekali tidak mewakili pandangan Jakim”.
“Setiap kenyataan media yang mewakili pendirian dan dasar Jakim mestilah terlebih dahulu mendapat keizinan rasmi dari Pengurusan Tertinggi Jakim. Perbuatan mengaitkan nama Jakim dalam berita tersebut adalah amat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan ringkas itu.
Malah, Jakim dalam kenyataannya turut mendakwa Nurul tidak pernah dilantik sebagai penyemak penerbitan Islam seperti yang dilaporkan FMT semalam.
Ketika dihubungi, Nurul, yang kini menganggotai panel transformasi undang-undang Islam di bawah Majlis Dakwah Negara, mengesahkan pernah dilantik Jakim pada 2010 untuk mengkaji bahan penerbitan Islam bagi memastikan tidak ada sebarang keraguan.
Dua surat perlantikan RASMI daripada Jakim bertarikh Oktober 2010 dan Julai 2013 mengesahkan kenyataan beliau.
Nurul menegaskan pandangannya tidak mewakili mana-mana pertubuhan yang dianggotainya.
“Pihak FMT juga tidak pernah sama sekali mendakwa artikel tersebut mewakili Jakim dalam laporan mereka dan Jakim tidak wajar dikaitkan dengan artikel tersebut,” katanya yang kesal dengan polemik di media sosial susulan artikel itu.

“Jadi pihak FMT tidak bersalah dalam hal ini.”
Dalam artikel Bahasa Inggeris bertajuk “Hadi’s bill: A violation of the shariah” (RUU Hadi: Suatu pelanggaran syariah), beliau membawa pendekatan daripada sudut lawan yang membidas PAS kerana cuba mendakwa usul yang dibawanya ke Parlimen awal tahun ini adalah demi menegakkan hukum Allah.
“Malah, ia (RUU 355) bertentangan dengan Islam dan tidak ada kena mengena dengan syariah,” tulis Nurul, yang terlatih dalam bidang fiqh dan perbandingan agama.
Nurul menjelaskan apa yang ditulisnya merupakan “kaunter-naratif” terhadap RUU yang dibentangkan Hadi untuk mempersiapkan pindaan tersebut dengan segala hujah yang bakal dilontarkan oleh pihak lawan dan perlu dinilai dalam konteks yang dimaksudkan.
“Ianya dikarang sebagai ‘Devil’s Advocate Paper’ (menyanggah pendapat dengan mengutarakan hujah berlawanan) untuk menilai kepincangan pindaan RUU355 daripada sudut Maqasid al-Syariah agar ianya dapat diperbaiki melalui solusi yang terbaik.

“Saya tidak menentang pemerkasaan mahkamah syariah dan jauh sekali menentang hukum Allah,” tambahnya, yang bagaimanapun akur penulisannya masih ada ruang untuk diperbaiki khususnya dalam membincangkan aspek melibatkan pengharmonian fiqh turath dan perundangan Malaysia.
Beliau berharap jawapan beliau ini dapat merungkaikan persoalan yang timbul dan memohon agar isu ini tidak dipolemikkan sekaligus dihentikan kerana ia “tidak menguntungkan mana-mana pihak khususnya umat Islam jika isu ini dijadikan punca pertelagahan”.
Usul Hadi pertama kali dibentangkan pada Mei tahun lepas, dan sekali lagi dibentangkan pada November, mencadangkan hukuman ke atas pesalah syariah ditambah daripada penjara maksima 3 tahun kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000, dan 6 kali sebatan kepada 100 sebatan. Ia turut menerima sokongan beberapa pemimpin kanan Umno.