
Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, ia senjata kimia yang boleh melumpuhkan sistem saraf dan orang yang terkena VX boleh mati dalam masa setengah jam akibat tidak boleh bernafas.
Beliau berkata, agen saraf itu juga sukar dikesan jika dibawa masuk ke negara ini dalam kuantiti kecil.
“Ini adalah kali pertama kita temui (VX), sebelum ini tidak pernah ada dan kita cuma tahu mengenainya melalui pembacaan sahaja,” katanya selepas merasmikan Seminar Perdana Pemerkasaan Perubatan Tradisional Melayu 2017 hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Jumaat berkata, bahan kimia Ethyl S-2- Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate atau agen saraf VX digunakan dalam pembunuhan Jong Nam, abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Jong Nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau, apabila tiba-tiba dihampiri 2 wanita dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi cecair beracun.
Jong Nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya, namun meninggal dunia semasa dalam perjalanan.