Zahid arah Kementerian Luar nilai hubungan dengan Korea Utara

Zahid arah Kementerian Luar nilai hubungan dengan Korea Utara

Ia susulan dakwaan duta Korea Utara di Malaysia yang Putrajaya bersekongkol dengan musuh Pyongyang berhubung kes pembunuhan Kim Jong Nam.

zahid-northkorea
RAUB: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengarahkan Kementerian Luar membentangkan penilaiannya mengenai hubungan diplomatik dengan Korea Utara kepada Kabinet.

Ini susulan kenyataan “kurang berdiplomasi” Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol, baru-baru ini yang mendakwa Malaysia bersekongkol dengan musuh Pyongyang berhubung kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin utama negara itu, Kim Jong Un pada 13 Februari lalu.

“Hubungan diplomatik kita serahkan kepada Kementerian Luar untuk lakukan penilaian dan kemukakan perkara itu kepada jemaah menteri untuk diputuskan.

“Kita harapkan ia dapat dipertahankan…namun dalam masa sama hormatilah undang-undang negara kita dan hormatilah profesionalisme yang dilakukan pakar-pakar kita,” kata timbalan perdana menteri mengenai dakwaan Kang dan proses penyiasatan Malaysia dalam kes ini.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke pusat pemulihan Cure and Care (CCRC) Sungai Ruan di Raub hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin.

Pemuda Umno sebelum ini menggesa kerajaan mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara berikutan beberapa kenyataan pemimpinnya, termasuk Kang yang tidak menghormati kedaulatan negara ini.

Kang dalam sidang akhbarnya pada 17 Februari lalu mendakwa kononnya Malaysia mempunyai “sesuatu untuk disembunyikan” serta “berpakat dan bersekongkol dengan kuasa luar” dalam pengendalian kes pembunuhan Jong Nam.

Mengulas lanjut perkara itu, Zahid dengan tegas berkata, Malaysia melakukan penyiasatan kes berkenaan dengan profesional tanpa pengaruh atau bersekongkol dengan mana-mana individu, organisasi mahupun negara ke-3.

“Malaysia bukan sebuah negara yang membenihkan penjenayah, Malaysia bukan sebuah negara melindungi penjenayah, Malaysia sebuah negara yang tegas dan tidak akan bersekongkol dengan mana-mana individu, organisasi atau negara yang melakukan perbuatan itu.

“Kita merupakan antara negara yang tegas dalam hal itu, jadi jangan main reverse psychology…kita tidak mahu cari permusuhan dengan mana-mana negara, tetapi dalam masa sama kita juga tidak dapat terima jika dituduh bersekongkol dengan pembunuhan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkenaan tidak terus mengeluarkan kenyataan yang menuduh Malaysia terlibat dengan perkara sebaliknya dan harus menghormati hubungan diplomatik sedia terjalin.

“Dalam hal ini soal hubungan diplomatik harus dihormati, gunakan bahasa yang lebih diplomasi…kerana PDRM (polis) Jabatan Kesihatan serta Jabatan Kimia kita bertindak profesional.

“Jangan tuduh kita bekerjasama dengan negara ke-3 semata-mata untuk mengabui fakta yang ada,” katanya.

Kami tak percaya anda, Korea Utara bidas Malaysia

Senjata pemusnah diharamkan PBB dikesan atas mayat Jong Nam

Kes Jong Nam: Polis periksa klia2 kesan sisa radioaktif

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.