
“Malahan, sekiranya dilaksana dan dirancang dengan baik, barangkali Dego Ride mungkin akan menyelematkan golongan Mat Rempit daripada kancah perlumbaan motosikal haram,” kata Adun Kampung Tunku, Law Weng San.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Pegangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengenai persetujuan Kabinet mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal itu atas faktor keselamatan.
Lau berkata Kementerian Pengangkutan tidak seharusnya tergesa-gesa menolak permohonan Dego Ride, sebaliknya perlu membuat penelitian secara menyeluruh.
“Perkhidmatan Dego Ride juga akan memberi persaingan yang sihat terhadap perkhidmatan Uber dan Grab Car, selain menjadi pelengkap kepada sistem pengangkutan awam yang masih serba kekurangan dewasa ini.”
Lau turut mempersoalkan sama ada keputusan Kabinet itu sebulat suara, merujuk pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, yang menyarankan kerajaan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan mengharamkan Dego Ride.
“Percanggahan pendapat antara kedua-duanya secara terbuka sekali lagi melunturkan keyakinan orang ramai terhadap keberkesanan Kabinet dalam membuat keputusan mesyuarat dan mentadbir kerajaan.
“Ianya juga menimbulkan masalah lama terhadap pembahagian tugas yang tidak spesifik di kalangan 35 orang menteri akibat bilangan menteri Kabinet yang terlampau besar,” katanya.
Dego Ride mula mendapat perhatian akhir tahun lepas kerana caj murah yang dikenakannya, serendah RM2.50 untuk jarak sejauh 3km dan tambahan RM0.60 bagi setiap 1km berikutnya.
Penumpang turut dibekalkan topi keledar, penutup kepala serta baju hujan.
Pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj sebelum ini memberitahu FMT, pihaknya menerima kira-kira 200 tempahan sehari daripada pengguna Lembah Klang disebabkan caj murah, pantas dan mudah.
Katanya, majoriti pemandunya terdiri daripada lelaki, manakala 70% pelanggannya pula ialah wanita.