
Jumaat lalu, Kang menyuarakan rasa tidak puas hatinya selepas Malaysia menolak permohonan menyerahkan mayat abang sebapa pemimpin Korea Utara itu kepada Pyongyang tanpa penangguhan.
Bercakap kepada wartawan di luar bilik mayat Hospital Kuala Lumpur, Kang berkata, Pyongyang akan menolak sebarang keputusan bedah siasat yang dijalankan tanpa kebenaran mereka.
Menurut laporan AFP, Kang juga berkata, polis ditekan musuh mereka, merujuk kepada Korea Selatan.
“Pihak Malaysia melakukan bedah siasat itu tanpa kebenaran dan disaksikan kami. Kami akan menolak keputusan bedah siasat yang dilakukan secara unilateral.
“Ini jelas menunjukkan Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu yang memerlukan lebih banyak masa dan menipu kita serta mereka berpakat dengan kuasa yang bermusuhan dengan kami,” kata Kang dalam kenyataan yang dipetik The Star.
Menurut laporan The Star, satu kenyataan akan dikeluarkan selepas pertemuan Kang dengan Wisma Putra yang dijangka diadakan pagi ini.
Malaysia enggan menyerahkan mayat Jong Nam sehingga semua prosedur selesai kerana sampel DNA diperlukan sebelum mayat boleh dituntut waris.
“Setakat ini, tiada ahli keluarga atau waris tampil mengenal pasti atau menuntut mayat. Kami memerlukan sampel DNA daripada ahli keluarga untuk dipadankan dengan profil si mati,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat kepada AFP.
“Korea Utara sudah mengemukakan permintaan menuntut mayat itu, tetapi sebelum kami boleh menyerahkan mayat itu, kami perlu mengenal pasti ia milik siapa.”
Jong Nam tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu dan sepatutnya berlepas ke Macau pada jam 9 pagi Isnin lalu.
Tiba-tiba, beliau didatangi 2 wanita yang menyembur sejenis cecair dan menyerkup mukanya dengan sehelai kain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Jong Nam yang menggunakan nama Kim Chol pada pasportnya, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2.
Setakat ini, polis menahan 4 suspek, masing-masing seorang lelaki Korea Utara, lelaki tempatan dan 2 wanita dari Vietnam serta Indonesia.
Polis masih memburu 4 lelaki Korea Utara yang sudah meninggalkan Malaysia pada hari kejadian serta 3 yang lain bagi membantu siasatan kes itu.
Korea Utara tolak laporan bedah siasat, tuduh Malaysia berpakat