Tragedi basikal: Jangan salahkan kerajaan negeri

Tragedi basikal: Jangan salahkan kerajaan negeri

Ketua Pemuda Umno Johor berkata kemalangan pada awal pagi Sabtu itu berlaku akibat kecuaian remaja terbabit.

Datuk-Zulkarnain-Kamisan
PETALING JAYA:Ketua Pemuda Umno Johor Datuk Zulkarnain Kamisan berkata ada banyak kawasan di negeri itu yang selamat digunakan untuk peminat basikal menjalankan aktiviti dan hobi mereka.

Beliau berkata apa yang berlaku kepada sekumpulan remaja penunggang basikal di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada awal pagi Sabtu lalu, adalah kerana mereka memilih untuk tidak menggunakan kawasan selamat yang disediakan untuk basikal.

Dalam tragedi itu, sebuah kereta merempuh sekumpulan remaja lelaki yang sedang berbasikal pada jam 3 pagi. Lapan terbunuh dan 2 lagi masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah.

“Kerajaan negeri sudah menyediakan tempat sesuai untuk aktiviti rekreasi seperti laluan basikal di Bandar Dato’ Onn dan kawasan hutan bandar di Bandar Mutiara Rini,” katanya kepada FMT.

Selain itu, katanya program “Bebas Kereta” di pusat bandar Johor Bahru juga diadakan pada Sabtu minggu kedua, setiap bulan.

“Jadi kami sudah sediakan beberapa tempat untuk orang ramai berbasikal dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata kemalangan seperti tragedi itu berlaku akibat keinginan semula jadi remaja untuk cuba perkara baharu dan mereka gagal memahami sepenuhnya, betapa penting isu keselamatan.

“Mereka yang terbabit dalam perlumbaan basikal haram terlalu muda dan cuai untuk menilai apa yang baik dan buruk. Maka, ibu bapa dan keluarga perlu memainkan peranan memantau aktiviti mereka.

“Tidak kira berapa banyak undang-undang dan peraturan anda buat, tidak guna juga jika tidak ada kerjasama semua pihak,” katanya.

Beliau berkata program belia di negeri itu biasanya dibuat untuk mereka yang tamat persekolahan, dan Pemuda Umno Johor sendiri mengambil beberapa inisiatif menambah lebih banyak program, terutama membabitkan sukan dan sukarelawan.

“Mereka yang masih bersekolah berada di bawah jagaan sekolah dan ibu bapa mereka. Apa yang mereka buat sepatutnya dipantau dan perlu mendapat keizinan ibu bapa dan penjaga,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.