Tak mungkin Malaysia-Korea Utara jalan siasatan bersama, kata polis

Tak mungkin Malaysia-Korea Utara jalan siasatan bersama, kata polis

Rashid berkata, siasatan kes itu kini mencapai 50%, bermakna ia mempunyai perkembangan stabil dan polis berusaha menyelesaikan kes berkenaan.

noor-rashid
PETALING JAYA:
Polis Malaysia tidak akan menjalankan siasatan bersama dengan Korea Utara dalam kes kematian Kim Jong Nam, kata Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Timbalan ketua polis negara itu dipetik Oriental Daily berkata, polis Malaysia tidak mungkin menerima cadangan Pyongyang itu dan setakat ini, tiada keperluan untuk mendapatkan kerjasama Korea Utara dalam siasatan kes itu.

“Korea Utara boleh menyuarakan pandangan mereka, itu kebebasan mereka. Tetapi, apa yang saya boleh katakan ialah kecuali ada keperluan, polis Malaysia tidak akan meminta bantuan dari Korea Utara, apatah lagi menjalankan siasatan bersama.”

Rashid berkata, siasatan kes itu kini mencapai 50%, bermakna ia mempunyai perkembangan stabil dan pihaknya berusaha menyelesaikan kes berkenaan.

Katanya, polis Malaysia juga tidak akan mempedulikan dakwaan Duta Korea Utara, Kang Chol, sebaliknya akan menumpukan perhatian terhadap siasatan kes itu.

Terdahulu, Kang berkata, Pyongyang tidak mempercayai siasatan polis Malaysia dan kesal tidak dimaklumkan siasatan polis terhadap rakyatnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan siasatan bersama dijalankan antara polis Malaysia dan Korea Utara dan meminta pihaknya diberikan peluang bertemu 2 suspek yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan Jong Nam.

Katanya, tindakan polis menyimpan mayat Jong Nam terlalu lama juga dilihat sebagai motif politik dan dilihat seolah-olah bekerjasama dengan Korea Selatan.

Pagi tadi, Malaysia memanggil Kang untuk menjelaskan dakwaan yang Putrajaya “menyembunyikan sesuatu” serta “berpakat dan bersekongkol dengan pihak luar”.

Kementerian Luar menyifatkan tuduhan Kang itu tidak berasas dan sekaligus mencemarkan reputasi negara ini.

Jong Nam tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu dan dijadualkan berlepas ke Macau pagi Isnin lalu apabia beliau diserang 2 wanita yang menyembur sejenis racun dan menyerkup mukanya dengan sehelai kain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Anak sulung kepada bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il itu kemudiannya mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Sejak itu, Korea Selatan menuding jari kepada jirannya, Korea Utara sebagai dalang di sebalik pembunuhan Jong Nam dengan merujuk “arahan” Jong Un untuk membunuh abang sebapanya dan cubaan membunuhnya yang gagal pada 2012.

Kami tak percaya anda, Korea Utara bidas Malaysia

Malaysia panggil duta Korea Utara, jamin siasatan telus

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.