Suspek Korea Utara mahu kehidupan lebih baik untuk anak

Suspek Korea Utara mahu kehidupan lebih baik untuk anak

Ri Jong Chol ditahan berdasarkan rakaman CCTV yang menunjukkan dia menghantar 4 ejen Korea Utara ke klia2 pada hari Kim Jong Nam dibunuh.

Ri-Jong-Chol
PETALING JAYA: Ri Jong Chol yang ditahan berhubung kematian Kim Jong Nam datang bekerja di Malaysia untuk memberi kehidupan lebih baik kepada anaknya.

Sin Chew Daily memetik sumber di Tombo Enterprise Sdn Bhd – sebuah syarikat mengedar bahan kimia di Bandar Tun Razak yang mengambil Ri mendedahkan, dia berharap dapat menjalankan perniagaan di Malaysia dan anaknya juga mahu melanjutkan pelajaran di negara ini.

“Seorang rakan perniagaan dari Korea Utara memperkenalkan kami kepada Ri 2 tahun lalu dan dia menyuarakan hasrat bekerja di sini dan membawa anaknya bersama,” kata sumber kepada akhbar berbahasa Cina itu.

Sumber itu berkata, syarikat berkenaan membantu lelaki berusia 47 tahun itu mendapatkan permit kerja kerana mereka tersentuh dengan azamnya.

Jong Nam tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu dan dijadualkan berlepas ke Macau pagi Isnin lalu apabia beliau diserang 2 wanita yang menyembur sejenis racun dan menyerkup mukanya dengan sehelai kain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Anak sulung kepada bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il itu kemudiannya mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Sehingga kini, 4 suspek ditahan polis, iaitu seorang wanita Vietnam bernama Doan Thi Huong, suspek ke-2 dari Indonesia bernama Siti Aisyah, lelaki tempatan bernama Muhammad Farid Jallaludin dan suspek ke-4, Ri untuk membantu siasatan.

Sumber yang dipetik Sin Chew Daily turut menyifatkan Ri sebagai pendiam dan tidak percaya dia terbabit dalam pembunuhan Jong Nam.

“Apabila kami dapat tahu Ri ditahan, kami hubungi Duta Korea Utara, Kang Chol serta-merta.”

Akhbar berbahasa Cina itu berkata, pengurusan syarikat berkenaan belum dipanggil untuk membantu siasatan polis.

Sementara itu, sumber polis dipetik China Press berkata, Ri ditahan kerana disyaki menghantar 4 suspek Korea Utara itu ke klia2 dan polis mengesan dia melalui rakaman CCTV yang menunjukkan nombor pendaftaran keretanya.

Empat suspek yang sudah melarikan diri ke luar negara pada hari kejadian adalah Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57.

Akhbar itu melaporkan Ri mendakwa dia tidak bersalah.

 

4 suspek bunuh Kim Jong Nam larikan diri dari Malaysia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.