
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan berkata, keperluan itu bagaimanapun bergantung kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkannya.
“Kita fikir melalui trek ini, pelajar boleh melepaskan gian dan tidak perlu untuk kita bimbang lagi tentang soal keselamatan mereka di atas jalan raya.
“Ini memandangkan setiap perlumbaan yang diadakan di trek dikawal berdasarkan spesifikasinya sendiri oleh pihak bertanggungjawab,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.
Beliau mengulas kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam yang turut mengakibatkan 4 lagi remaja lelaki patah kaki, 2 tidak stabil berikutan pendarahan dalam otak, seorang pula luka di kepala dan seorang lagi cedera di pinggul.
Ali pada masa sama berkata, semua pihak termasuk polis dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung boleh memainkan peranan dengan mengadakan rondaan di kawasan yang menjadi lokasi golongan itu berkumpul.
“Kedua-dua pihak turut boleh menegur dan menasihat mereka. Jika mereka berdegil dan melawan, kita gunakanlah undang-undang yang ada, iaitu tahan dan panggil ibu bapa mereka ke balai polis.
“Kita percaya pencegahan perlu bermula dengan cara berkesan, iaitu mengenakan denda bersesuaian seperti terlibat dalam kerja kemasyarakatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Norhani Bakri berkata, insiden tersebut seharusnya menyedarkan 3 ejen penting dalam proses pemantauan sosialisasi dan transisi golongan remaja kepada dewasa.
“Di peringkat umur transisi, iaitu daripada 12 hingga 18 tahun, remaja sentiasa perlukan perhatian, kasih sayang dan bimbingan. Kalau di rumah, mereka gagal memperolehnya daripada ibu bapa, remaja akan beralih kepada guru dan rakan sebaya.
“Tetapi kebiasaannya, rakan sebaya adalah pilihan kerana mereka sentiasa disanjung dan dianggap hero. Apabila perkara menjadi parah, remaja tidak lagi sukakan rumah dan cenderung melakukan sesuatu yang seronok dan bebas, termasuk aktiviti berbasikal ini tanpa memikirkan kesan panjang,” katanya.
Norhani berkata, rentetan kejadian itu, sudah tiba masanya ibu bapa turut tahu mengenai pergerakan serta pergaulan anak sambil menjalin hubungan erat dengan PIBG bagi membendung gejala tidak bermanfaat.